SKMM Lebih Bertegas Agih Netbook 1Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 30 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bertindak lebih tegas berhubung pengagihan komputer riba di bawah program Netbook 1Malaysia berikutan terdapat laporan pemalsuan maklumat mengenai permohonannya di negeri ini dalam dua fasa terdahulu.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Datuk Mohd Shafie Harun berkata walaupun hanya segelintir sahaja perbuatan itu dikesan, namun perkara tersebut tidak boleh dibiar berlarutan kerana ia akan menjejaskan pengagihan kepada pelajar yang layak.

"Untuk berlaku adil, kita akan lebih tegas lagi dalam pengagihan netbook bagi fasa ketiga di negeri ini supaya hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja akan diberi kemudahan berkenaan.

"Jika kita mengesan terdapat pemalsuan maklumat, contohnya dari segi pendapatan isi rumah keluarga pelajar yang melebihi RM3,000 sebulan, tetapi diletak sebagai bawah RM3,000, maka kita akan padam nama pelajar berkenaan daripada senarai penerima," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohd Shafie berkata tindakan itu perlu dilakukan berikutan terdapat rungutan pelajar mahupun ibu bapa yang merasakan mereka sepatutnya layak mendapat kemudahan itu, tetapi dinafikan berikutan masalah pemalsuan maklumat oleh pihak lain.

Beliau berkata pelajar boleh membuat rayuan mengenai perkara tersebut. "Rayuan boleh dibuat menerusi pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen masing-masing atau datang sendiri ke pejabat SKMM," katanya.

Katanya untuk fasa ketiga, sebanyak 37,000 unit netbook akan diserahkan kepada pelajar di negeri ini termasuk 5,800 unit di kawasan DU NTeruntum dan Tanjung Lumpur, secara berperingkat sehingga tamat penggal persekolahan hujung tahun ini.

Mengenai penembusan jalur lebar di negeri ini, Mohd Shafie berkata setakat ini SKMM berjaya meningkatkan kadarnya sehingga 53 peratus dan menyasar sebanyak 78 peratus menjelang 2015. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan