Pembukaan KLIA 2 Dijangka Tingkatkan Lalu Lintas Udara

Diterbitkan: Isnin, 30 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembukaan terminal baharu penerbangan tambang murah, KLIA2, tahun depan dijangka meningkatkan jumlah lalu lintas udara dengan ketara, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata penyiapan KLIA2, yang lebih awal daripada dijadualkan itu akan memberi peluang kepada pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), untuk meraih manfaat daripada lalu lintas udara serantau yang kukuh.

"Lalu lintas udara serantau terus berdaya tahan dan ini ternyata daripada pertumbuhan dua angka jumlah pergerakan penumpang Jakarta melonjak 21.4 peratus tahun ke tahun (Y-O-Y), Bangkok meningkat 14.1 peratus Y-O-Y dan Changi bertambah 11.6 peratus Y-O-Y," katanya dalam satu kenyataan.

MIDF Research berkata pertambahan mendadak perjalanan udara Asia ini merupakan petanda baik, yang dijangka mengurangkan kelembapan ekonomi di Eropah.

Bagaimanapun, prestasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketinggalan berbanding lapangan terbang antarabangsa serantau lain dari segi jumlah pergerakan penumpang, dengan pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus, disebabkan oleh pengurangan kapasiti sebanyak 10 peratus oleh Malaysia Airlines (MAS), tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh syarikat penerbangan asing yang menampung kekurangan kapasiti ini, katanya.

KLIA2 baharu itu dijangka meningkatkan bilangan penumpang dan pesawat yang mendarat serta kadar caj perkhidmatan penumpang, katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" bagi MAHB, dengan harga sasaran masih pada RM6.72. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan