Operasi Pindah Gajah Liar Di Hulu Besut Lancar

Diterbitkan: Sabtu, 28 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BESUT: Operasi memindah dua ekor gajah liar yang ditangkap di Hulu Besut petang Isnin lalu ke kawasan Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berjalan lancar dengan bantuan lima ekor gajah denak.

Ketua Unit Gajah, Pusat Konservesi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang, Nasharuddin Othman berkata operasi itu berjaya diselesaikan dalam masa hampir tiga jam dan pertama kali dikendalikan oleh gajah denak tempatan, kesemuanya gajah betina yang diberi nama Tenang, Jambu, Indah dan Limau dengan diketuai gajah denak berpengalaman, Che Mek.

Beliau berkata empat gajah tempatan termasuk yang ditangkap dari hutan Hulu Besut beberapa tahun lalu buat pertama kali dibawa menjinak dan memindahkan gajah dua beranak membabitkan seekor gajah betina berusia 20 tahun dan anak jantannya berusia lapan tahun.

"Operasi pemindahan gajah ini juga dibantu 18 petugas dari PKGK dan 15 petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu," katanya kepada pemberita di lokasi pemindahan di kawasan Sungai Tenang, Lata Tembakah, Hulu Besut pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Perhilitan Terengganu, Yusof Shariff.

Nasharuddin berkata pemindahan kedua-dua ekor gajah itu tidak menghadapi sebarang masalah cuma masa yang diambil agak lama memandangkan gajah betina berkenaan mengalami kecacatan pada kedua-dua belah kaki belakangnya.

Dua ekor gajah itu ditangkap pada 2 petang Isnin lepas oleh Unit Gajah Perhilitan Terengganu.

Nasharuddin berkata pada masa ini terdapat 12 ekor gajah tempatan yang sedang dilatih untuk dijadikan denak di PKGK dan empat daripadanya digunakan hari ini bagi membantu pemindahan.

Sementara itu, Yusof berkata Perhilitan Terengganu kini dalam proses menubuhkan Unit Pindah Gajah bertempat di Santuari Gajah Sungai Deka, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Katanya buat masa ini pusat tersebut sedang diperlengkapkan bagi menepati ciri-ciri melatih gajah dengan bantuan PKGK Kuala Gandah.

Menurutnya, pihaknya juga membuat pemantauan untuk menjalankan operasi menangkap beberapa ekor gajah liar yang menganggu petani dan penoreh getah di kawasan Hulu Setiu dan Dungun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan