Novelis Malaysia Terpilih Untuk Disenarai Pendekkan Dalam Anugerah Tertinggi Buku Britain

Diterbitkan: Khamis, 26 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Novel karya novelis Malaysia, Tan Twan Eng - The Garden of Evening Mists - telah terpilih untuk menduduki senarai 12 buku yang disenarai pendekkan untuk anugerah tertinggi buku Britain - The Man Booker Prize.

Tan, 40, adalah anak kelahiran Pulau Pinang dan bekas peguam ini telah menjadikan penulisan novel sebagai kerjaya sepenuh masanya.

Selain Tan, turut disenaraikan ialah bekas pemenang, Hilary Mantel serta sasterawan dari India, Jeet Thayil dan juga Afrika Selatan, Andre Brink.

Senarai terakhir 12 judul buku yang disenarai pendekkan tahun ini dipilih dari 145 buah karya fiksyen termasuk empat penulis novel buat pertama kali.

Mantel, adalah pemenang Booker Prize untuk tahun 2009 menerusi novelnya "Wolf Hall".

Sembilan lagi penulis yang terpilih dalam senarai akhir adalah warga dan penulis Britain.

Michael Frayn pada usia 78 tahun adalah calon tertua manakala penulis British, Ned Beauman adalah yang termuda pada usia 27 tahun.

Daripada senarai 12 penulis itu, ia akan dipendekkan kepada enam orang calon terakhir sahaja dan nama-nama itu akan diumumkan pada 11 September depan.

Pemenang anugerah ini akan diumumkan pada 16 Oktober dan bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak Pound Sterling 50,000.

The Booker dianugerahkan setiap tahun kepada novel yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris oleh warganegara Komanwel, Republic of Ireland dan Zimbabwe.

Ia mula diperkenalkan pada tahun 1969.

Senarai 12 novel yang telah disenarai pendekkan untuk Anugerah Booker adalah seperti berikut;

1). Nicola Barker - The Yips

2). Ned Beauman - The Teleportation Accident

3). Andre Brink - Philida

4). Tan Twan Eng - The Garden of Evening Mists

5). Michael Frayn - Skios

6). Rachel Joyce - The Unlikely Pilgrimage of Harold Fry

7). Deborah Levy - Swimming Home (And Other Stories)

8). Hilary Mantel - Bring up the Bodies

9). Alison Moore - The Lighthouse

10). Will Self - Umbrella

11). Jeet Thayil - Narcopolis

12). Sam Thompson - Communion Town

Sementara itu novel The Garden of Evening Mists, karya Tan adalah berkisarkan situasi selepas perang dunia di Malaya pada tahun 1949.

Ia berkisar tentang kehidupan Yun Ling Teoh yang kembali ke tanahair selepas menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Cambrige dan mengerakkan gerakan untuk mendakwa penjenayah perang Jepun.

Sebagai mangsa perang, Yun meletakkan misi tersebut sebagai keutamaannya sehinggalah dia bertemu dengan 'Yugiri' iaitu satu-satunya taman Jepun di Malaya.

"Yugiri" dicipta oleh Aritomo iaitu bekas penjaga taman diraja Maharaja Jepun.

Di sebalik segala kebenciannya ke atas tentera Jepun, Yun telah berkawan dan menjadi pelatih kepada Aritomo.

Cerita ini penuh dengan misteri dan persoalan. Ia telah diterbitkan pada Februari tahun ini dan merupakan karya kedua Tan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan