TPM Akan Umum Keputusan Muktamad Isu Air

Diterbitkan: Rabu, 25 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, timbalan perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan penting dan muktamad kerajaan persekutuan berhubung isu air Selangor yang semakin meruncing ketika ini, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang akan diambil kerajaan berhubung isu itu tentunya mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat Selangor dengan memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi bagi jangka masa panjang.

"Peguam Negara (AG) masih bermesyuarat dan akan melaporkan kepada timbalan perdana menteri selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor.

"Buat masa sekarang kita masih kumpulkan semua maklumat berkaitan isu ini termasuk saranan-saranan daripada semua pihak termasuk pihak negeri, pengguna (rakyat Selangor) dan pihak syarikat berkenaan.

"Selepas itu timbalan perdana menteri akan keluarkan satu kenyataan dalam masa satu dua hari," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2012 sempena sambutan Hari Kemerdekaaan ke-55 peringkat kementerian, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Chin menafikan dakwaan kerajaan pakatan pembangkang Selangor kononnya keputusan kerajaan persekutuan untuk meneruskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan membebankan rakyat negeri itu.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat. Kenapa kita lakukan semua ini? Untuk rakyat...jadi macamana pula rakyat menderita apabila kita melakukan yang betul untuk rakyat...Apa yang kita lakukan adalah supaya bekalan air mencukupi," katanya.

Mengenai cadangan kerajaan Selangor yang ingin mengadakan referendum di mana rakyat negeri itu boleh membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah bekalan air, beliau berkata:

"Saya tidak fikir yang mereka boleh menyelesaikan masalah ini dengan referendum. Apa yang diperlukan ialah loji...jadi kita sudah ambil pendirian untuk menawarkan tendernya supaya loji itu akan dibina," katanya.

Isnin lepas, Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan bahawa projek Langat 2 akan diteruskan dan tawaran akan dibuka dalam tempoh sebulan akan datang.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa kerajaan pusat akan memastikan projek pembinaan Langat 2 ditawarkan kepada syarikat yang berupaya dan berharap ia boleh bermula pada tahun ini.

Selain itu, jawatankuasa yang bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali itu juga menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Sebaliknya kerajaan Selangor pula bertegas tetap mahu mengambil alih pengurusan air daripada SYABAS yang menurutnya gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Chin juga berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat dalam dua minggu lagi dan wakil kerajaan Selangor mungkin akan dijemput sekiranya diperlukan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan