Bekalan Minyak Masak Di Johor Mencukupi

Diterbitkan: Selasa, 24 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor memberi jaminan bekalan minyak masak di negeri ini khususnya sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan adalah mencukupi.

Pengarahnya Ayob Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan dan pemantauan di pasar raya dan kedai-kedai runcit di setiap daerah, mendapati bekalan masih mudah diperoleh.

"Kita dapati bekalan minyak masak adalah mencukupi, cuma apa yang berlaku sekarang pelanggan menghadapi masalah kekurangan bekalan jenama-jenama tertentu terutama jenama peringkat nasional," katanya selepas mengadakan lawatan ke sebuah kilang memproses minyak masak di Taman Mount Austin di sini, Selasa.

Menurutnya secara purata bekalan minyak ke negeri Johor adalah 6,606 metrik tan sebulan dan ia mencukupi untuk menampung permintaan di negeri ini.

Katanya, Johor mempunyai sebuah kilang memproses minyak masak dan ia boleh meningkatkan pengeluarannya sebanyak 10 peratus, bagi menampung keperluan yang meningkat di musim perayaan.

Sehubungan itu, katanya, pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik.

"Kita hendak beritahu pengguna bahawa kandungan minyak masak itu sebenarnya semua sama, tidak ada perbezaan kerana standard telah dikeluarkan pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia," katanya.

Menurut beliau, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang melakukan penyelewengan Akta Kawalan Harga 1946, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Katanya, sejak awal tahun ini hanya tiga kes berkaitan penyelewengan minyak masak dilaporkan membabitkan nilai rampasan RM250,000. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan