Tanah Kubur di Ibu Negara Mampu Tampung Jenazah Hingga 2061 - Jawi

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur mampu menampung keperluan tanah perkuburan umat Islam sehingga tahun 2061, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali.

Beliau berkata masih ada 50 tahun lagi sebelum kawasan tanah perkuburan di Kuala Lumpur menjadi sempit memandangkan ibu negara menerima jumlah kematian paling tinggi di negara ini dari kalangan penduduk tempatan, dari negeri lain dan juga warga asing.

Tanah perkuburan di ibu negara juga menerima jenazah yang banyak dari kalangan bayi yang meninggal sebaik dilahirkan di mana pada satu ketika beliau pernah menguruskan serentak 11 jenazah bayi yang baru lahir dari hospital sekitar Kuala Lumpur, katanya. "Orang lama beranggapan apabila mati mereka perlu dikuburkan dihadapan rumah atau berhampiran masjid di kawasan rumah mereka. Konsep ini perlu ditukar," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian tanah perkuburan Raudhatul Sakinah KL-Karakoleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata selepas 2061, Jawi sudah pun memikirkan konsep baru untuk menguruskan hal-hal pengkebumian di ibu negara tetapi ia masih terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.

Berkenaan tanah perkuburanRaudhatul Sakinah KL-Karak, Che Mat berkata ia diakui oleh Muhyiddin sendiri sebagai konsep pertama tanah perkuburan di Malaysia yang lengkap dengan landskap dan infrastruktur teratur.

"Tanah perkuburan seluas 98 ekarini dibangunkan dalam tujuh fasa. Fasa pertama lebih kurang 12 ekar sudah dibangunkan sepenuhnya dengan kos RM5 juta dan dapat menampung sehingga 22,000 jenazah. Fasa berikutnya mungkin dapat tambahan lagi 33,000," katanya.

Tanah perkuburan berkenaan terletak di Taman Batu Muda, Batu Caves dan dibina seperti taman yang lengkap dengan alunan bacaan Al-Quran yang dimainkan melalui pembesar suara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan