Jangan Iri Hati Nikmat Peneroka - PM

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERANTUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peneroka berhak menikmati apa yang dikecapi kini kerana mereka telah berjuang lebih separuh abad menerusi program rancangan pembangunan tanah untuk mengubah nasib mereka.

Beliau berkata ramai masyarakat luar kini menganggap peneroka sebagai 'anak emas' perdana menteri berikutan pelbagai insentif dan nikmat yang mereka peroleh ketika ini seperti bonus, kemudahan pinjaman perumahan, saham, durian runtuh dan sebagainya.

"Kalau hari ini peneroka dapat lebih, jangan iri hati, jangan jaki kerana mereka telah berjuang lebih separuh abad.

"Kalau yang tak tabah, ada yang lari balik kampung lama (mereka)," katanya ketika berucap pada majlis Program Kampung Sejahtera Inspirasi Harmoni Felda (Kasih Felda) di Padang Piol, dekat sini, Jumaat.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Najib berkata kejayaan yang dinikmati peneroka dan Felda bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya mereka terpaksa melalui pelbagai cabaran sepanjang 56 tahun membangunkan tanah rancangan itu.

"Ramai yang mahu sertai semula Felda, ada yang hulur surat kepada saya, kepada Ahmad Maslan, kepada Tan Sri Isa.

"Jasa Felda sangat besar sebenarnya, ramai anak-anak peneroka telah berjaya, ada yang menjadi pegawai tinggi kerajaan dan menjadi golongan profesional," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata nikmat yang dikecapi peneroka bukanlah sesuatu yang mudah dan datang sebegitu sahaja.

Kejayaan yang dinikmati Felda sebenarnya turut melimpah ruah kepada masyarakat sekelilingnya seperti Program Kasih Felda yang turut dinikmati penduduk kampung tradisional sekitar tanah rancangan, katanya.

Program Kasih Felda yang dilancarkan perdana menteri hari ini adalah program membaikpulih perumahan bagi penduduk di kampung-kampung tradisional yang berhampiran dengan 317 tanah rancangan Felda.

Program itu memperuntukkan RM5,000 bagi satu keluarga mengikut garis panduan yang ditetapkan Yayasan Felda dalam projek membaikpulih rumah tradisi di kampung bersebelahan atau berhampiran tanah rancangan Felda. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan