PKR Dakwa Wujud Penyelewengan MIC Dalam Pengurusan AIMST

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat pada Khamis mendakwa wujudnya penyelewengan oleh MIC dalam menguruskan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan Asian Institute of Medical Sciences (AIMST).

Ketua Biro Strategi dan Polisi Nasional PKR, S Gobi Krishnan mendakwa kontrak untuk membina AIMST sebelum ini telah dianugerahkan kepada kontraktor yang berkenaan tanpa melalui proses tender terbuka.

Dakwanya lagi, beberapa kontrak lain turut diberikan secara terus kepada ahli keluarga pemimpin tertinggi MIC.

Namun begitu beliau enggan untuk menyebutkan nama mereka yang terlibat buat masa ini dan hanya akan berbuat demikian sekiranya MIC terus membisu dan tidak memberikan sebarang penjelasan.

"Kita sedia maklum isu ini telah wujud sejak sekian lama, sejak 2008. Sudah banyak laporan polis dibuat tetapi hingga kini tiada satu jawapan munasabah yang memuaskan hati masyarakat umum.

"Dan saya sendiri sudah bertanya kepada MIC untuk mereka menjelaskan isu ini sebab kita sedia maklum isu ini bukan isu MIC, ini adalah isu masyarakat umum," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Khamis.

Gobi berkata beliau turut mendapat maklumat yang menunjukkan kos pembinaan AIMST telah meningkat naik sebanyak dua kali ganda ke RM645 juta.

Justeru, beliau mendesak MIC untuk segera memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, sekiranya MIC terus membisu dari memberikan penjelasan, beliau akan mendedahkan lebih banyak penyelewengan yang berlaku.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan