Generasi Muda Berperanan Bantu Kerajaan Gubal Dasar, Starategi Pembangunan Negara

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mahu memahami aspirasi anak muda Malaysia, pemikiran mereka tentang hal-hal kenegaraan dan pandangan mereka tentang bagaimana menguruskan ekonomi negara dengan lebih berjaya.

Beliau berkata generasi muda mempunyai peranan yang penting dalam membantu kerajaan menggubal dasar, mengatur strategi dan program untuk mewujudkan agenda pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, memakmurkan negara serta menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat sepanjang masa.

"Generasi muda ada peranan dan tempatnya, bukan sahaja sebagai warganegara tetapi adalah waris yang akan mengambil alih pimpinan dalam masyarakat dan negara. Saudara akan menjadi penentu tentang masa depan negara.

"Pastinya dalam soal begini kita tidak boleh asingkan diri kita, baik saudara ataupun saya dalam kerajaan supaya proses engagement itu dijadikan sebagai asas platform untuk kita gubal dan laksanakan sesuatu supaya akhirnya outcome ada yang membawa kebaikan untuk kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemimpin Muda Negara yang dianjurkan oleh Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia, di bangunan Parlimen pada Khamis.

Seramai 542 belia dari pelbagai institusi menyertai konvensyen itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz.

Muhyiddin berkata untuk menjadi warga Malaysia yang berdaulat dan merdeka bukanlah satu perkara yang mudah sekiranya tiada kesatuan daripada segi pemikiran dan hati di mana tiada percanggahan dan perbezaan dengan melihat pada hala tuju yang sama.

"Kalau kesatuan ini dapat kita sama-sama laksanakan maka kita mempunyai pandangan yang sama walaupun ada perbezaan tetapi akhirnya kita terima kenyataan yang kita mesti bersatu kerana kita ingin membangun sebagai sebuah negara yang maju pada tahun 2020 nanti," katanya.

Beliau berkata kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang terdapat di Malaysia menjadikan negara ini lebih istimewa daripada negara lain kerana tidak pernah mengalami krisis yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

"Kita tahu negara kita pelbagai kaum dan mengekalkan perpaduan itu penting, soal kestabilan politik dan sosial di Malaysia yang menyebabkan kita sampai ke hari ini, kalau tidak ada pergolakan politik yang menyebabkan terganggu sistem berparlimen sebagai contoh ataupun peristiwa yang menyebabkan urusan negara terganggu, itu tidak harus jadi kekangan tapi yang penting bagaimana hendak jana kekuatan kita supaya negara maju," katanya.

Justeru, katanya, generasi muda diseru agar duduk berbincang dengan kerajaan dan mengutarakan sebarang permasalahan yang dialami dan bukannya berdiam diri atau disimpan di dalam hati.

Muhyiddin turut menggalakkan anak muda untuk melakukan sesuatu yang baik dan meneruskan cita-cita mereka kerana ia tidak mustahil dapat direalisasikan asalkan tidak melanggar undang-undang negara.

Beliau turut memberi contoh anak-anaknya yang mempunyai pelbagai minat dan cita-cita akhirnya memilih bidang lain untuk diceburi.

Sebagai contoh, katanya anaknya Najwa yang ingin menjadi peguam kemudian berubah fikiran untuk menjadi jurutera dan akhirnya memilih muzik sebagai bidangnya kini manakala anaknya Farhan Yassin pula yang pada mulanya mahu menjadi jurutera automotif kini memilih bidang pereka fesyen.

"Setiap kita ada keistimewaan, cita-cita, kita ada sesuatu yang nak buat, teruskannya asalkan ia baik dan tidak menyalahi hukum, kalau yang boleh menambah baik diri kita, keluarga dan negara kita, ia adalah okay. "Sebagai seorang pemimpin di negara ini, kami mahu anda berjaya dalam hidup anda. Saya harap konvensyen ini akan menghasilkan sesuatu yang baik dan memberikan satu semangat kepada saudara-saudari untuk berusaha bersungguh-sungguh dan supaya cita-cita untuk berjaya menjadi kenyataan," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan