Tiada Indikasi Terima Projek LRT Ampang - George Kent

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: George Kent (M) Bhd tidak ada menerima apa-apa indikasi tentang penganugerahan kontrak penyambungan landasan transit laju ringan Ampang bernilai RM960 juta, kata pengerusinya Tan Sri Tan Kay Hock.

"Mari tunggu keputusan kerajaan kerana ia belum dianugerahkan lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agong tahunan syarikat di sini, Rabu.

Konsortium George Kent termasuk China Railway Construction Corp dan Tewet GmbH, sebuah firma rundingan projek.

Tender bagi projek penyambungan LRT itu ditutup pada 16 Jun tahun lepas.

Selain konsortium George Kent, pembida lain adalah konsortium Invensys-Balfour Beatty Rail-Ingress, kumpulan Posco-Sojitz-Daewoo International-Thales, Colas-CMC Engineering-Thales, Samsung-LG-Thales, SNC Lavalin-WW Engineering-Bombardier, Siemens-Scomi Engineering dan Ansaldo-Emrail-Leighton.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2012, keuntungan sebelum cukai George Kent menyusut kepada RM26.2 juta daripada RM32.4 juta pada tempoh yang sama 2011 berikutan margin keuntungan kasar yang lebih rendah untuk produk yang dikilangkan.

Perolehan menyusut kepada RM152.2 juta daripada RM165 juta sebelum ini.

"Perolehan yang lebih rendah adalah berikutan permintaan yang lebih rendah bagi produk dan perkhidmatan mereka akibat kelembapan ekonomi dunia dan perolehan yang merosot daripada projek," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan