Selangor Perlu Kemukakan Rancangan Urus Air

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAMPIN: Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran pembangkang perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengambilalihan tanggungjawab itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu dimaklumkan kepada kerajaan pusat berdasarkan peruntukan dalam perjanjian konsesi sedia ada.

"Jadi kalau mereka ingin buat keputusan begitu mereka kena maklumkan. Sama ada, ada asas atau pun tidak itu kita tidak tahu lagi dan kita juga mahu tahu apa perancangan kerajaan negeri dalam nak menyelesaikan krisis air di Selangor. Sebagaimana pelan pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang belum diputuskan lagi.

"Jadi kalau itu mereka sampaikan kepada kerajaan pusat dan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui (selaku menteri bertanggungjawab) boleh menilai adakah asas itu asas yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, di sini Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih tanggungjawab itu daripada syarikat tersebut.

Muhyiddin berkata, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, sebarang pengambilalihan tidak boleh buat secara unilateral sebaliknya perlu dirujuk dan mendapat persetujuan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Katanya, soal pengambilalihan itu boleh dirujuk kepada peruntukan dalam akta dan undang-undang sedia ada, bagaimanapun hakikat yang lebih penting adalah masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.

Beliau berkata masalah tersebut sudah sampai pada tahap yang mencemaskan lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan bekalan air di loji-loji menurun pada tahap yang agak rendah.

"Jadi hal sebegini tentu menimbulkan kebimbangan besar terhadap pengguna, jadi apa tanggungjawab kerajaan negeri dalam soal itu. Ini sudah lama kita bincang, sudah kita kemukakan cadangan tapi mereka tidak membuat keputusan.

"Saya tidak mahu campur tangan, tapi mereka menuduh Syabas tidak mampu menjalankan tugas. Apa pun bagi saya ini keadaan yang amat kritikal sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tiada halangan terhadap guru untuk memakai pakaian tradisional kaum lain sewaktu mengajar di sekolah selagi tertakluk kepada kod etika berpakaian yang sesuai di sekolah.

"Sekarang orang Cina pun pakai baju Melayu, orang Melayu pun pakai Cheongsam, orang India pakai baju Melayu dan kita tidak ada halangan kerana tiada ada sekatan undang-undang mengatakan tidak boleh asalkan cara berpatutan, ikut cara yang terhormat," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa kes di mana ada guru ditegur oleh guru besar dan pengetua kerana memakai pakaian tradisional kaum lain ketika mengajar di sekolah.

Muhyiddin berkata kes tersebut adalah terpencil dan menurutnya mana-mana guru yang berasa tidak berpuas hati di atas teguran itu boleh mengemukakan aduan kepada kementerian. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan