PM Ajak Rakyat Berjuang Pertahan Kemerdekaan

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berjuang habis-habisan untuk memastikan kemerdekaan yang dinikmati negara selama 55 tahun tidak dinodai oleh sesiapapun.

Dengan nada penuh bersemangat, Perdana Menteri juga berharap generasi sekarang tidak mensia-siakan perjuangan pemimpin terdahulu, yang dengan jerih payah dan darah mereka, berkorban memerdekakan negara ini.

"Saya mengajak semua rakyat Malaysia supaya merapatkan barisan kita, supaya kita dengan suara 1Malaysia, dengan satu suara, satu impian, satu harapan, 1Malaysia jadikan sambutan 55 tahun ini sebagai satu sambutan yang cukup meriah," katanya ketika melancarkan program Kibar Jalur Gemilang di Little India, Brickfields di sini Selasa malam.

Beliau berkata dalam tempoh 55 tahun kemerdekaan negara, banyak janji yang telah kerajaan tepati.

"Kita maju dan kita berjaya kerana selama 55 tahun kerajaan telah menepati janji kepada rakyat, kita janjikan sebuah negara yang bersatu padu dan kita telah dapat menjamin keadaan sedemikian.

"Kita menjanjikan sebuah negara yang akan melalui proses transformasi daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara industri dan kini kita bercita-cita melonjakkan negara kita sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya di hadapan lebih 15,000 pengunjung yang tidak berganjak walaupun hujan renyai-renyai turun membasahi bumi.

Najib mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan kepada seluruh dunia rasa cinta terhadap negara dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang berjaya dalam erti kata sebenarnya.

"Saya berbangga bahawa sambutan Hari Kemerdekaan kita bermula dengan kibaran Jalur Gemilang. Ini bererti bahawa dalam tempoh (malam ini) hinggalah kepada 31 Ogos dan seterusnya pada 16 Sept, kita akan menyemarakkan semangat cinta kepada negara kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di mana saja yang boleh kita lakukan.

"Kibarkan Jalur Gemilang di mana saja, di bumbung rumah kita, di luar pagar rumah kita, di bangunan pencakar langit, di rumah kedai, pada kereta kita, teksi-teksi atau apa jua jenis kenderaan, kibarkan bendera Jalur Gemilang kita," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan kempen Jalur Gemilang di Kampung Baru meminta semua pihak mengibar bendera negara sebagai satu lambang kesetiaan, kesatuan, keberanian, kegigihan dan patriotisme bagi mencapai wawasan kegemilangan.

Beliau berkata Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera tetapi lambang dan simbol kedaulatan negara yang mempunyai makna besar dan mendalam ertinya.

"Lambang Jalur menggambarkan hala tuju dan arah yang sama dan gemilang itu melambangkan kecemerlangan yang dicapai di mana setiap lambang dan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang mencerminkan masyarakat Malaysia serta cita-cita negara yang meliputi konsep gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata tema '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati' pada tahun ini jelas menggambarkan dasar kerajaan yang sentiasa prihatin kepada keperluan dan hasrat rakyat dengan menjaga kebajikan serta melonjakkan mereka dalam arus pembangunan negara.

Muhyiddin berkata semua pihak hendaklah memelihara perpaduan kerana ia adalah satu nikmat yang tidak ternilai harganya dan tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian dan keutuhan daya saing ekonomi negara.

Katanya rakyat yang bersatu padu dan bekerjasama mampu menjadi benteng kukuh untuk menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam mahupun luar.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Kemerdekaan, berkata semangat mengibarkan Jalur Gemilang perlu dizahirkan semua kaum di negara ini.

Beliau berkata semangat cintakan negara perlu dipertahan bagi menjamin masa depan yang lebih aman dan rakyatnya dapat hidup bersatu padu.

Di Jalan Petaling, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berharap setiap rakyat dapat menjiwai semangat kemerdekaan ini dengan mengibar Jalur Gemilang secara sukarela tanpa mengharapkan bendera percuma daripada kerajaan.

Beliau berkata pengibaran Jalur Gemilang menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini dan pembakar semangat rakyat untuk menghayati erti kemerdekaan dan mensyukuri nikmat keharmonian yang dikecapi Malaysia.

"Sikap toleransi yang diamal selama ini menjadi benteng yang mengukuhkan perpaduan antara kita semua," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan