PKNK Diminta Jual Kembali Saham FGVH - Azizan

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjual kembali saham FGVH bagi menunjukkan pendirian negeri ini yang selari dengan pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pembelian saham FGVH sebanyak 500,000 unit yang dilakukan PKNK tidak dimaklumkan kepada pihaknya terlebih dahulu dan ia merupakan kesalahan teknikal yang biasa.

"PKNK ada bajet khas untuk pembelian saham sebab kerajaan selalu keluar saham dan diberi keutamaan melalui Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

"Memang semua saham keluar diberi tawaran kepada kita dan kita beli, tapi isu ini sensitif sikit dan kita akan jual balik (saham FGVH)... jangan pihak lain kata kita tak bersama pakatan rakyat sebab ini masalah teknikal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim dilapor mengesahkan perbadanan itu membeli 500,000 unit saham FGVH di bawah peruntukan Miti yang ditawarkan kepada Bumiputera.

Sementara itu, Azizan berkata, kerajaan negeri Kedah meminta penjelasan berhubung kedudukan tanah-tanah Felda Plantation yang didakwa dimasukkan ke dalam prospektus Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Beliau berkata, sehubunagn itu kerajaan negeri ingin tahu sama ada tindakan itu dibenarkan di sisi undang-undang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan