Dedahkan Bahaya Media Sosial Kepada Pelajar - MCPF

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) pada Rabu meminta pihak berkenaan termasuk sekolah agar mendedahkan bahaya media sosial kepada pelajar bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.

Naib Pengerusinya Datuk Kamarudin Md Ali berkata pelajar kini dilihat begitu mudah mendedahkan maklumat peribadi menerusi laman sosial tanpa menyedari aktiviti mereka dipantau penjenayah.

"Keadaan ini menyebabkan potensi berlakunya jenayah culik amat tinggi apabila setiap pergerakan mangsa dapat dibaca dengan mudah dan lebih membimbangkan jika ia diakhiri dengan jenayah seperti rogol dan bunuh," katanya berucap pada seminar 'Kanak-Kanak dan Jenayah', di sini.

Katanya pembabitan remaja dalam media sosial sememangnya tidak boleh dikekang, justeru semua pihak bertanggungjawab memastikan golongan itu tahu dan faham akan risiko laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Sementara itu, Kamarudin berkata sejak 1999, sebanyak 5,778 Kelab Pencegahan Jenayah telah ditubuhkan MCPF dengan keanggotaan lebih 600,000.

"Pada peringkat sekolah menengah, sebanyak 2, 011 kelab telah ditubuhkan manakala di peringkat sekolah rendah adalah sebanyak 3, 767 kelab," katanya.

KPJ bermatlamat membentuk komuniti pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pencegahan jenayah dan mempunyai kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang sebagai langkah mewujudkan masyarakat yang harmoni. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan