BN Kedah Rangka Manifesto Ikut Keperluan Rakyat - Ahmad Bashah - Berita Semasa | mStar

BN Kedah Rangka Manifesto Ikut Keperluan Rakyat - Ahmad Bashah

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah sedang merangka manifesto untuk pilihan raya umum akan datang yang berdasarkan keperluan rakyat, kata Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata satu jawatankuasa di peringkat negeri telah diwujud terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan mengenai manifesto itu.

"Manifesto ini bukan boleh tulis seronok-seronok saja. Sebab itu kita duduk dan fikir apa yang patut kita masukkan bagi merangkumi keseluruhan keperluan rakyat dan perbincangan itu sudah di peringkat akhir.

"Kita akan masukkan banyak benda (dalam manifesto), antaranya ialah membina rumah kos rendah kepada rakyat, pendidikan, tebatan banjir dan semua keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat Kedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Tani PraRamadan di Taman Wira Mergong di sini, Rabu.

Sementara itu, mengenai jawapan bertulis kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada Isnin lepas bahawa kerajaan negeri tidak membina rumah kos rendah kerana tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, Ahmad Bashah berkata alasan itu tidak boleh diterima.

"Takkan kerajaan negeri tidak ada peruntukan langsung. Mereka boleh membuat pinjaman untuk membina rumah kos rendah kerana ia adalah keperluan rakyat dan permintaannya sangat tinggi," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan