PM Garis Empat Aspek Utama Pengurusan Ekonomi & Kewangan Mantap

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri menggariskan empat aspek utama yang perlu diberi tumpuan dalam soal pengurusan ekonomi dan kewangan bagi memastikan negara tidak berhadapan dengan sebarang krisis kewangan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata aspek paling asas ialah perbelanjaan tidak boleh melebihi pendapatan, dan yang kedua, negara perlu mempunyai lebihan operasi dengan tidak boleh membuat pinjaman semata-mata untuk membiayai perbelanjaan pengurusan.

Aspek ketiga ialah memastikan beban hutang fiskal defisit negara berada pada trajektori yang menurun secara progresif, kata Najib semasa berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Perbendaharaan Malaysia, pada Selasa.

Perdana Menteri berkata aspek keempat pula merujuk kepada perlunya ada keseimbangan antara asas pendapatan negara yang seharusnya semakin besar dan berkeupayaan untuk memberi insentif serta rangsangan kepada sektor-sektor atau sub-sektor tertentu yang perlu disokong.

Beliau berkata soal perbelanjaan tidak seharusnya melebihi pendapatan merupakan salah satu fundamental asas yang mungkin nampak mudah dari segi logik, tapi tidak dari segi praktiknya.

"Ada negara-negara di Eropah sekalipun, yang tidak berjaya mengamalkan prinsip induk ini," katanya.

Perdana Menteri berkata dari segi perbelanjaan mengurus pula, kerajaan sepajang masa perlu memastikan ia mempunyai lebihan operasi, dan tidak boleh meminjam dari luar semata-mata untuk membiayainya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya perkara ini tidak dikawal, ia merupakan antara tanda-tanda awal negara akan menghadapi krisis kewangan.

Merujuk kepada aspek ketiga, Najib berkata beliau bersyukur disebabkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini beban hutang dan defisit negara memang didapati menjurus kepada trajektori yang semakin menurun.

Dalam aspek ini, ia membawa maksud supaya lebih banyak cukai perlu dikutip dengan cekap, dan pada masa yang sama rangsangan perlu diberikan, atau di bahagian tertentu, cukai perlu dikurangkan. "Yang penting dapat jayakan dua objektif utama negara iaitu kadar pertumbuhan mesti berada pada tahap yang memuaskan. Kalau tidak tinggi pun mesti memuaskan, dan kita sudah gariskan objektif kita yang perlu capai lima atau enam peratus setahun," katanya.

"Kedua pula, apabila ada kadar pertumbuhan, baru dapat jalankan dasar-dasar untuk menegakkan keadilan sosial, memperluas jaringan keselamatan sosial, untuk melakukan tindakan affirmatif, mesti capai kadar pertumbuhan yang agak tinggi," tambahnya.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan warga perbendaharaan supaya sentiasa peka dengan dua amanah yang disandarkan ke bahu mereka iaitu sebagai pengawal atur kewangan, yang menentukan wang negara dibelanja secara berhemah dengan pulangan maksimum selain sebagai pemudah cara kepada jabatan serta agensi kerajaan, dan sektor swasta.

Najib berkata kerajaan sehingga kini berjaya menentukan hala tuju yang jelas dan menggubal dasar-dasar, perancangan serta program pembangunan yang menyeluruh secara terperinci bagi mendokong visi dan wawasannya.

Seramai 210 pegawai Kementerian Kewangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pagi ini selain empat pegawai gred JUSA yang menerima Anugerah Khas Perbendaharaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan