Muhyiddin Garis Empat Kriteria Penting Untuk Wanita Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat kriteria penting bagi wanita Malaysia mengatasi halangan dan berjaya dalam bidang masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata wanita di Malaysia mesti bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran baharu, memenuhi tuntutan masa hadapan dan melengkapi diri dengan kemahiran dan pengetahuan baharu, baik dalam perniagaan, komunikasi, teknologi atau bidang-bidang lain. "Pertama, anda mesti membina keupayaan untuk bersaing dan berada selangkah di hadapan pada setiap masa," katanya ketika melancarkan Sidang Kemuncank Wanita ke-10, di sini.

Yang kedua memupuk sikap postif dan yakin dengan keupayaan sendiri untuk mengatasi halangan, kata beliau.

Beliau berkata hanya dengan memupuk sikap positif mereka akan dapat meneroka peluang baharu dan menjadi perintis dalam bidang masing-masing.

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie.

Muhyiddin berkata perkara ketiga untuk berjaya ialah perintis mesti mempunyai sesuatu yang istimewa untuk ditawar yang memberikan manfaat sebenar. "Yang keempat, mesti ada peluang untuk membolehkan kaum wanita cemerlang," katanya.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pendidikan merupakan faktor kejayaan kritikal untuk mengarusperdanakan golongan wanita di negara ini.

Beliau berkata dengan memiliki pendidikan yang lebih baik atau kelayakan akademik yang lebih tinggi, golongan wanita boleh menceburi bidang profesional yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki. Muhyiddin berkata sehingga Jun lepas, wanita meliputi 63.2 peratus daripada pegawai pergigian di Malaysia, akauntan (49.6 peratus), peguam (49.2 peratus) dan pegawai perubatan (46.2 peratus).

Beliau berkata statistik itu menunjukkan peningkatan dan trend positif penglibatan wanita dalam bidang profesional, selain telah ada yang menyandang jawatan pembuat keputusan dalam organisasi penting sektor ekonomi. "Saya percaya Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai representasi wanita yang dominan sebagai pembuat keputusan di peringkat penggubal dasar dan regulator dalam sektor ekonomi," katanya. Selain itu, Muhyiddin turut menyambut baik inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bekerjasama dengan Talentcorp bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan.

Beliau berkata ia selaras dengan sasaran 55 peratus penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan menjelang 2015.

Bagi memenuhi hasrat itu, Muhyiddin berkata satu pangkalan data wanita profesional yang berhasrat untuk kembali bekerja akan dilancarkan September ini.

Beliau turut memuji penganjuran sidang kemuncak itu yang menurutnya telah menjadi platform penting kepada wanita Malaysia untuk berkongsi pandangan bagi melonjakkan kejayaan ke tahap lebih tinggi.

Menerusi sidang kemuncak itu, katanya pelbagai saranan dan resolusi telah dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan termasuk dasar 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan, pelanjutan cuti bersalin dan peraturan kerja separa masa.

Sidang kemuncak sehari anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Enam tajuk dibincang dalam beberapa sesi termasuk mengenai "Women Readiness for Economic Transformation", "The Progress of Women and Technology" dan "The 21st Century Talent". -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan