LHDN Sasar Pertumbuhan Tahunan 15 Peratus Perolehan Cukai

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)menyasarkan perolehan cukai tahunan meningkat 15 peratus berbanding RM109.679 bilion yang dikutip tahun lepas, menerusi Pelan Korporat LHDN 2012-2015 yang baru dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Mohd Shukor Mahfar berkata sasaran itu boleh dicapai memandangkan LHDN sudah mengenal pasti kaedah dalam meningkatkan pentadbiran dan pematuhan cukai untuk kutipan cukai langsung.

"Kami mahu mengenal pasti peluang-peluang baharu dalam meluaskan asas dan bidang percukaian yang belum dieksploitasi sepenuhnya sebelum ini.

"Kami juga sedang memperhalusi prosedur dan amalan sedia ada, selain mengukuhkan pentadbiran," katanya pada sidang media sempena Persidangan Percukaian Kebangsaan 2012 pada Selasa.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah merasmikan persidangan dua hari itu serta melancarkan pelan tindakan strategik.

Mohd Shukor berkata kejayaan mengutip RM109.679 bilion cukai tahun lepas merangsang LHDN untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi, yang melepasi sasaran awal sebanyak RM110 bilion yang diunjurkan tahun ini.

"Sasaran itu akan dinilai setiap suku, selari dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar. Oleh itu, saya menjangkakan menerusi pelan tindakan baharu ini, kami akan merekodkan tahap baharu dalam kutipan cukai.

"Apabila ekonomi berkembang, asas kami juga akan berkembang," katanya.

Pelan strategik tiga tahun itu yang melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-10 itu memberi tumpuan terhadap Pengurusan Hasil, Penyampaian Perkhidmatan, Pengurusan Risiko Organisasi, Pengurusan Teknologi Maklumat, Jaringan Kerjasama, Penggunaan Sumber yang Optimum, Pembangunan Modal Insan dan Aktiviti Berpasukan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan