GST Ditangguhkan Sehingga Rakyat Faham - Husni - Berita Semasa | mStar

GST Ditangguhkan Sehingga Rakyat Faham - Husni

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melibatkan semua pihak dalam menyalurkan pengetahunan yang lebih mendalam mengenai cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata pihak berkuasa, menerusi pelbagai inisiatif, sedang dalam peringkat rundingan mengenai percukaian baharu itu dengan orang ramai, komuniti perniagaan dan sektor swasta Malaysia. "Kami mahu semua pihak memahaminya. Apabila semua orang sudah ok, barulah kerajaan akan melaksanakannya.

"Walaupun setakat ini pembabitan dengan persatuan-persatuan tidak semudah yang dikehendaki, namun responsnya sangat baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2012.

Rang Undang-undang GST dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Disember 2009, namun bacaan kedua yang dijadual pada Mac 2010, ditangguhkan.

Ia dijadual dilaksanakan pada pertengahan tahun lepas bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Ditanya bila bacaan kedua rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk dibahas, Ahmad Husni berkata: "Kami berlu membuat keputusan. Kami mahu orang ramai memahaminya terlebih dahulu."

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Institut Percukaian Berkanun Malaysia S.M. Thanneermalai berkata tindakan kerajaan itu wajar sebelum pelaksanaan sistem percukaian yang besar seperti GST.

Beliau berkata penangguhan itu akan memberikan pihak berkuasa lebih masa untuk memahami mekanisme dan struktur percukaian GST kepada pemegang kepentingan yang berkaitan.

"Kita merupakan antara beberapa negara yang tidak mempunyai GST, namun ia tidak bermakna kita perlu tergesa-gesa. Masa yang mencukupi akan memastikan kelancaran pelaksanaanya," katanya ketika ditemui pada persidangan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan