Polis Latih Pengawal Keselamatan Pusat Membeli-Belah

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lebih 25,000 pengawal keselamatan di pusat membeli-belah di seluruh negara akan menerima latihan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha kerajaan menangani kes jenayah di premis berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata modul latihan akan dibangun secepat mungkin berdasarkan modul latihan polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Pada masa ini tiga pusat beli-belah sudah menyatakan komitmen untuk menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan pemimpin tertinggi PDRM, pemilik pusat beli-belah dan pihak berkepentingan, di sini, Isnin.

"Saya perlu tahu siapa yang mahu bekerja dengan kami kerana program ini bukan suatu yang boleh dipaksa kepada semua pemilik pusat beli-belah, justeru saya akan mendedahkan mereka yang mahu bekerja dengan kita dan mereka yang tidak.

"Biar orang awam putuskan kerana sudahlah meminta polis melakukan itu dan ini, tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka dan dalam konteks ini kami tidak minta mereka mengupah lebih ramai pengawal tetapi untuk sertai latihan," katanya. Hishammuddin turut menafikan langkah itu diambil kerana kadar jenayah yang tinggi, sebaliknya lebih kepada meyakinkan rakyat bahawa kementerian serius dalam menangani segala kes jenayah yang berlaku.

"Indeks jenayah ada untuk tatapan semua tetapi jika orang ramai berasa tidak cukup selamat kita mungkin terpaksa menurunkan lagi indeks itu.

"Beri kami masa dan kami akan buktikan kepada masyarakat bahawa indeks itu adalah seperti yang kami umumkan," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhubung kadar jenayah, Hishammuddin berkata beliau menerimanya dengan hati terbuka serta mengalu-alukan pandangan dan idea Musa dalam menangani kes jenayah di negara ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan