Pindah Kuin Ke Kampus Kuala Ketil Jadi Keutamaan - Azizan

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pemindahan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) ke kampus baru di Kuala Ketil, Baling yang dijangka pada hujung tahun ini menjadi keutamaan kerajaan negeri buat masa ini kerana ia memerlukan perbelanjaan besar dan perancangan rapi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata justeru ada beberapa perkara yang perlu ditangguhkan misalnya pelarasan gaji kakitangan kolej itu sepertimana yang dinikmati kakitangan awam.

Beliau berkata sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta, Kuin sebenarnya tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan yang mewajibkan institusi itu mengikut arahan yang terkandung dalam pekeliling dikeluarkan kerajaan persekutuan.

"Kuin adalah institusi swasta yang ditubuhkan kerajaan negeri dan hanya mendapat bantuan subsidi sebanyak RM12 juta setahun, selain itu pendapatan Kuin bergantung kepada yuran pelajar," kata beliau kepada soalan tambahan Dr Leong Yong Kong (BN-Gurun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin.

Katanya, adalah menjadi perkara biasa apabila gaji kakitangan terpaksa ditangguhkan apabila yuran pelajar belum dijelaskan sepenuhnya kerana menunggu wang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dr Leong mengajukan soalan mengapa Kuin masih menghadapi masalah kewangan sehingga menyebabkan bayaran gaji kakitangan lambat dibuat, walaupun Menteri Besar memaklumkan bahawa pendapatan kerajaan negeri bertambah hasil penemuan sumber baru seperti bijih besi.

Terdahulu, Azizan memaklumkan bahawa pendapatan negeri dijangka bertambah hasil penemuan bijih besi antaranya di daerah Kuala Muda, Kubang Pasu, Yan dan Baling.

Beliau berkata pada masa ini empat lombong besi sedang beroperasi di daerah Kuala Muda, manakala di Baling kebanyakan kawasan penemuan galian itu adalah di atas tanah milik persendirian. Aktiviti perlombongan itu bermula sejak tahun lalu.

"Sehingga Jun 2012 perlombongan bijih besi di Gurun yang dikendalikan Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengeluarkan 222,000 tan metrik bijih besi," katanya.

Menurutnya daripada jumlah itu sebahagiannya telah dieksport ke China, manakala selebihnya masih belum dipasarkan kerana menunggu harga bahan galian itu naik.

"Bila harga naik baru kita jual. Kita perlu hati-hati dalam menguruskan pasaran bijih besi ini, kerana kita masih baru dan tidak mahu mengalami kerugian," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan