PM Tidak Mahu 1Malaysia Jadi Retorik Politik

Diterbitkan: Ahad, 15 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib melakukan tinjauan selepas merasmikan Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di Hulu Langat, Selangor pada Sabtu.
Najib melakukan tinjauan selepas merasmikan Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di Hulu Langat, Selangor pada Sabtu.

HULU LANGAT: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia tinggal sebagai slogan atau retorik politik semata-mata, sebaliknya mahu ia diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dikecapi dan dinikmati oleh rakyat.

Perdana Menteri berkata dalam merealisasikan usaha itu, lebih banyak perkhidmatan dan produk bersandarkan 1Malaysia perlu diperkenalkan bagi membantu meringan beban kehidupan yang dihadapi rakyat pada masa kini.

"Apabila diperkenalkan perkhidmatan dan produk 1Malaysia, senarainya tiada 'noktah' cuma ada 'koma'... tiada akhir. Namun, kita tidak sewenang-wenangnya membenarkan 'branding' 1Malaysia ini digunakan.

"Ramai yang memohon, ada yang saya setuju, ada saya tidak setuju. Apa yang penting perkhidmatan dan produk 1Malaysia mampu membantu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di sini, Sabtu.

Turut hadir pada perasmian kedai itu di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria di sini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.

Pada 8 Julai lepas, semasa berucap di program Janji Ditepati di Bandar Baru Bangi, Najib mengumumkan penubuhan kedai itu sebagai satu daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu meringankan beban rakyat.

Najib turut meluangkan kira-kira 20 minit untuk meninjau premis berkenaan sambil beramah mesra dengan pelanggan.

Perdana Menteri menegaskan terdapat tiga kriteria dalam membenarkan nama 1Malaysia digunakan terhadap sesuatu perkhidmatan atau produk.

"Pertama, perkhidmatan atau produk itu mesti untuk rakyat, kedua kualiti mesti lebih baik dan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana perkhidmatan atau produk yang tidak baik.

"Ketiga, produk dan perkhidmatan itu mesti lebih murah daripada harga pasaran. Jika ketiga-tiga ini dipenuhi, barulah kita benarkan (guna nama 1Malaysia)," katanya.

Najib berkata dalam tempoh tiga tahun, kerajaan Barisan Nasional telah memperkenalkan dan mengetengahkan pelbagai produk serta perkhidmatan 1Malaysia untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menerima sambutan hangat daripada rakyat.

Katanya, pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) juga mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mencatat penjualan memberangsangkan.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata perkhidmatan 1Malaysia sememangnya membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah ialah Klinik Rakyat 1Malaysia kerana menawarkan perkhidmatan yang murah dan berkualiti.

"Kalau pergi ke klinik swasta sekurang-kurang perlukan RM30, itu belum termasuk tambang teksi atau bas. Tapi kalau pergi Klinik 1Malaysia hanya bayar RM1 dan akan dapat perkhidmatan kesihatan.

"Kita juga ada Menu Rakyat 1Malaysia dengan bayaran sarapan pagi RM2 dan dengan RM4 untuk makan tengah hari kita dapat sajian yang lazat serta cukup zat dan nutrisi," katanya.

Selain itu, kerajaan juga mempunyai program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk meningkatkan akses golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah serta Program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) yang antara lain bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Najib berkata KKR1M menjual pelbagai jenis kain dan pakaian yang berkualiti tinggi dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

"Saya sahkan, terbukti harga pakaian dan kain (di KKR1M) jauh lebih murah daripada harga pasaran. Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) ambil masa semak harga semua produk," katanya.

Beliau berkata antaranya kain batik jacquard yang dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di pasaran, baju kemeja linen sehelai RM45 berbanding RM79 di pasaran serta kain satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.

Selain keperluan pakaian, kedai itu turut menawarkan barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah dan kelengkapan bersolat seperti sejadah dan songkok.

Najib berkata 30 lagi KKR1M akan dibuka seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan