Belum Tentu Jadi Calon Biarpun Telah Dikenal Pasti - Tsu Koon

Diterbitkan: Ahad, 15 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata calon parti itu yang telah disenarai pendek untuk pilihan raya umum ke 13 tidak semestinya menjadi calon jika tidak mendapat sokongan dari akar umbi.

Koh berkata penilaian dan maklum balas daripada rakyat menentukan keputusan sama ada seseorang calon itu akan dipertandingkan atau digugurkan. "Kami sudah kenalpasti dan menemu ramah mereka. Jadi buat kerja anda dan kami akan mendapatkan maklum balas daripada rakyat. Kami akan pantau. "Mereka kena kerja dahulu baru boleh tuntut (kelayakan menjadi calon). Setiap masa kami akan nilai mereka sehinggalah tarikh pilihan raya diumumkan sebelum nama mereka diputuskan untuk menjadi calon atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Selangor di sini, Ahad yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Gerakan Selangor Senator A Kohilan Pillay, yang juga Timbalan Menteri Luar.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata calon yang dikenalpasti ini perlulah menunjukkan komitmen dan kejujuran dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan.

"Jangan merungut jika kami gantikan anda. Anda (calon) mesti bersedia kerana kami perlu membuat keputusan tidak lama lagi. Kalau anda buat laporan (gerak kerja), kami boleh memeriksanya semula dengan rakyat dan nilai sama ada anda betul-betul jujur membuat kerja atau tidak," katanya.

Difahamkan calon itu telah di temuduga sejak tahun lepas dan telah diberi peluang berkhidmat di kawasan masing-masing.

Koh turut mengingatkan pemimpin dan anggota Gerakan di peringkat bahagian supaya menyelesaikan isu dan masalah dalam bahagian masing-masing.

Mengulas mengenai peluang Gerakan Selangor pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata pihaknya berharap dapat merampas kembali kerusi di negeri itu dengan meletakkan calon boleh menang dan mampu berkhidmat untuk masyarakat, selain mempunyai semangat kerjasama dan berpasukan dengan Barisan Nasional.

Gerakan pada pilihan raya umum lepas bertanding empat kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor iaitu Kota Alam Shah, Bukit Lanjan, Teratai dan Bukit Gasing serta satu kerusi Parlimen iaitu Puchong, dan kalah disemua kerusi itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan