Setem Wang Syiling Malaysia Mulai Isnin Ini - Berita Semasa | mStar

Setem Wang Syiling Malaysia Mulai Isnin Ini

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem khas dan Sampul Surat Hari Pertama bertemakan reka bentuk terbaru wang syiling Malaysia pada Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman berkata setem itu adalah dengan kerjasama Bank Negara.

Beliau berkata produk kali ini mengandungi setem enam persegi berwarna perak bernilai 60 sen yang memaparkan syiling 5 sen dan 10 sen manakala stem berwarna emas dengan nilai sama memaparkan syiling 20 sen dan 50 sen. "Terdapat juga lembaran mini yang memaparkan wang kertas bernilai RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100 dijual pada harga RM5 setiap satu," katanya pada sidang akhbar di sini.

Sementara itu Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata koleksi setem baru ini kesemuanya dicetak pada kertas bersalut perak dan emas dengan perincian unik yang jarang dihasilkan dan ini dilakukan untuk menyerlahkan warna serta reka bentuk syiling baru tersebut.

Katanya pengumpul setem digalakkan mendaftar sebagai ahli Standing Order Deposit Account (SODA) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter, katanya.

Orang ramai boleh melayari laman www.pos.com.my untuk maklumat lanjut. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan