MCA Dakwa Selangor Bebankan PNSB Dengan Pembelian Tanah

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong meminta penjelasan Kerajaan Selangor mengenai beban hutang yang terpaksa ditanggung Perbadanan Negeri Selangor Bhd (PNSB) ekoran pembelian tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya dari kerajaan negeri itu.

Beliau berkata berdasarkan laporan akaun PNSB tahun 2009, perbadanan itu dalam keadaan kewangan yang sihat, bebas daripada beban hutang serta memiliki wang tunai dan simpanan tetap sebanyak RM76 juta.

"PNSB pada mulanya berada dalam keadaan kewangan yang sihat kini terpaksa menanggung pinjaman bank dan bayaran faedah berjumlah RM316 juta gara-gara pembelian dua tanah yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Selangor," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MCA di sini, Khamis.

Beliau mendedahkan perkara itu berdasarkan laporan dalam Form 3 di bawah Akta Syarikat 1965 bertarikh 12 Mei 2011 yang dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat yang boleh diperoleh oleh orang awam.

"Saya difahamkan tiada pembangunan besar dilaksanakan ke atas kedua-dua tanah yang dibeli PNSB sejak tahun 2010, oleh itu apakah rancangan pembangunan yang akan dijalankan oleh Kerajaan Selangor bagi membolehkan PNSB membayar balik pinjaman sebanyak RM316 juta itu?" katanya.

Ditanya mengenai pelantikan firma audit dan akauntan swasta oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi meneliti proses pelaksanaan kutipan hutang Talam Corporation, Chua berkata kerajaan negeri sepatutnya menggunakan khidmat jabatan audit kerajaan negeri dan bukannya melalui pihak ketiga iaitu swasta.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata MBI akan melantik firma audit dan akauntan bertaraf antarabangsa untuk meneliti dan mengkaji proses pelaksanaan kutipan hutang Talam Corporation sepenuhnya.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri akan mengeluarkan kertas putih mengenai pengambilalihan harta Kumpulan Talam bagi menyelesaikan hutangnya kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri bersama laporan firma audit yang dilantik semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2013 yang dijadual November ini. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan