Tabung Haji Dijangka Agih Dividen Tinggi Tahun Ini

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (LTH) dijangka dapat mengagihkan dividen tinggi tahun ini kepada pendepositnya susulan pulangan menarik daripada pelaburan ditambah dengan hasil daripada penjualan pegangannya dalam syarikat perladangan di Indonesia.

Ini mencerminkan usaha keras lembaga tabung haji untuk memastikan modal pendeposit terus dilindungi dan dalam masa yang sama memberikan pulangan berbaloi dengan mereka, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail.

Beliau memberitahu Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa LTH akan memastikan semua pelaburan yang dibuat akan membuahkan hasil bagi mereka dan pendeposit mereka pada penghujung harinya kelak.

"Tahun lepas, kami mengisytiharkan dividen enam peratus (dan) harapnya, tahun ini, kami boleh mengekalkan prestasi kami. Kami berusaha keras untuk memastikan wang pendeposit Tabung Haji, modal, dilindungi dan memastikan mereka mendapat pulangan yang baik bagi simpanan mereka," katanya.

Pada Februari 2012, terdapat seramai 6.9 juta pendeposit dalam Tabung Haji.

Pulangan tinggi daripada pelaburan telah membolehkan LTH terus menyerap sebahagian daripada kos mengerjakan haji bagi rakyat Malaysia yang meningkat setiap tahun disebabkan faktor-faktor luar yang berbeza, kata Ismee.

"Alhamdulillah, dalam beberapa tahun lepas, kami telah memberikan subsidi kepada jemaah haji. Kami berupaya berbuat demikian disebabkan pulangan baik daripada pelaburan kami," katanya.

Tahun ini, katanya, subsidi bagi setiap jemaah telah meningkat kepada RM5,175 daripada RM4,320 tahun lepas disebabkan peningkatan kos penginapan, pengangkutan dan kos berkaitan, namun pendeposit LTH yang mengerjakan haji kali pertama dikenakan bayaran RM9,980 bagi pakej haji, kadar yang tidak pernah berubah sejak 2009.

"Dalam kursus haji, kami sentiasa memaklumkan kepada mereka: sekiranya anda pertama kami pergi dan mengikut muassasah (perkhidmatan pakej biasa), ini adalah jumlah yang tabung haji bantu. Sedikit sebanyak pulangan tinggi daripada pelaburan kami memberi faedah langsung kepada jemaah haji," katanya.

Beliau berkata pelaburan hartanah Tabung Haji di Mekah juga merupakan strategi jangka panjang untuk mengurangkan kos mengerjakan haji kerana ia boleh menggunakan pulangan daripada pelaburan sebagai subsidi silang.

Mengenai cadangan penjualan 95 peratus pegangan Tabung Haji dalam On PT TH Indo Plantations yang bernilai RM3 bilion, Ismee berkata pembeli telah diberikan tempoh sehingga akhir Ogos untuk menyiapkan proses kajian terperinci.

"Sudah tentunya, dengan jualan itu, ia akan menjadi butiran luar biasa bagi tahun ini dan jelas sekali, kami akan memperoleh keuntungan besar daripada urus niaga ini. Kami akan mengisytiharkan sebagai dividen kepada pendeposit, (sudah pastinya) ia akan diterjemahkan kepada dividen tinggi," katanya.

LTH pertama kali membeli pegangan itu pada 1997 dengan harga antara RM800 juta hingga RM1 bilion.

Unit di Indonesia itu memiliki tanah perladangan seluas 83,879 hektar di Riau, Sumatra, daripada jumlah simpanan tanah LTH sebanyak 210,000 hektar.

Menerusi hasil itu, LTH merancang meningkatkan kepentingannya dalam perladangan dan menyasar Malaysia dan Indonesia bagi kemungkinan pelaburan baharu.

"Sektor perladangan TH merupakan satu daripada bahagian utama pembabitan berterusan LTH. Dari sini kami akan melihat peluang untuk melabur semula dalam bahagian baharu yang menawarkan pulangan lebih baik," katanya.

"Usaha meningkatkan simpanan tanah akan dilakukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Kami akan terus menyasar Malaysia dan Indonesia kerana kami ingin kekal dalam sektor perladangan.

"Kami mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pasukan. Kami sepatutnya mengembangkan pengalaman ini, untuk kami menjadi peserta yang lebih besar di masa depan," kata Ismee, sambil menambah unit LTH, TH Plantations Bhd, akan menjadi peneraju dalam sektor perladangan.

Tabung Haji juga mempunyai enam lagi anak syaikat milik penuh dalam sektor perladangan TH Agro Sdn Bhd, TH Bakti Sdn Bhd, TH Estates (Holding) Sdn Bhd, TH Indo Industries Sdn Bhd dan TH Ladang (Sabah & Sarawak) Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan