Selangor Lantik Audit Bebas Kaji Urus Niaga Talam

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melantik lima firma audit dan akauntan bertaraf antarabangsa bagi mengkaji mengenai proses penstrukturan hutang antara Talam Corporation dan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan kumpulan audit yang bakal dikelola oleh bekas Akauntan Negara, Datuk Mohd Salleh Mahmud itu akan menentukan sama ada proses penyusunan hutang Talam dibuat secara telus ataupun tidak.

"Kita akan panggil lima audit antarabangsa bagi meneliti dan mengkaji proses pelaksanaan kutipan hutang sepenuhnya. Mereka akan menyediakan satu laporan dan analisa secara profesional.

"Hasil kajian itu akan didedahkan kepada Dewan ini supaya tidak ada lagi tohmahan kononnya kita tolong beli hutang Talam dengan harga mahal," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Rabu.

Menurut Abdul Khalid, kumpulan audit berkenaan akan mula menjalankan penelitian minggu depan dan laporan lengkap akan dibentangkan pada sesi persidangan DUN November depan.

Selain itu, Abdul Khalid turut menafikan dakwaan Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong bahawa kerajaan negeri terlibat dalam skandal penyelewengan transaksi berjumlah RM1 bilion sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

"Kerajaan negeri tak ada kena mengena dengan dakwaan RM1 bilion seperti yang dicanangkan MCA.

"Saya masih menunggu (penjelasan MCA). Tapi sebenarnya ia (penyelewengan) tak berlaku.... kita ada perjanjian yang sah," katanya.

Sementara itu, menerusi sidang medianya, Abdul Khalid menjelaskan bahawa kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) sebaliknya berjaya mengutip hutang sebanyak RM392 juta daripada Talam Corporation.

Katanya, pengutipan hutang itu melibatkan dua proses iaitu pengesahan hutang dan pelaksanaan perjanjian.

"Dalam menjalankan tugas mengutip hutang, MBI telah membuat beberapa perjanjian untuk memastikan hutang diselesaikan dengan beberapa cara termasuk pembayaran tunai dan penyerahan harta kepada MBI.

"Antara usaha yang dilakukan adalah memastikan Talam menandatangani perjanjian dokumen jaminan nilai aset (underwriting assets document) yang diserahkan. Semua aset yang diserahkan oleh Talam hendaklah tidak kurang dari RM392 juta.

"Ini bermakna walau apa pun aset yang diserahkan, rakyat negeri Selangor tidak akan mengalami kerugian kerana jaminan nilai aset melalui perjanjian tersebut," katanya.

Mengulas mengenai Kertas Putih penstrukturan hutang Talam yang dijanjikan untuk dibentangkan kerajaan negeri pada 2010, Abdul Khalid berkata, kelewatan itu disebabkan wujudnya beberapa proses transaksi berhubung perkara berkenaan.

"Memang kita jangka transaksi itu boleh lengkap pada 2010, tapi sehingga 2011 ia masih belum lengkap.

"Kita perlukan masa untuk selesaikan beberapa perkara termasuk isu hak milik tanah. Bagaimanapun duit hasil kutipan hutang itu sudah ada dalam akaun MBI...cuma transaksinya sahaja belum lengkap," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, proses transaksi berkenaan kini berada pada peringkat terakhir dan Kertas Putih mengenainya sedia dibentangkan di DUN pada November depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan