Lagi MP PKR Dakwa Ditawar Lompat Parti

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pembangkang pada Khamis meneruskan lagi siri dakwaan wakil rakyat mereka ditawar melompat parti dengan tawaran lumayan sehingga RM20 juta seorang.

Menerusi pendedahan itu, tawaran berkenaan dibuat kepada tiga lagi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh), Amran Ab Ghani (Tanah Merah) dan Loh Gwo Bourne (Kelana Jaya).

Amran mendakwa ketiga-tiga mereka adalah antara lapan Ahli Parlimen yang dipujuk untuk melompak parti agar menyertai Barisan Nasional (BN) atau menjadi wakil rakyat bebas.

"Tawaran bermula dengan RM10 juta seorang tetapi akhirnya menjadi RM20 juta seorang. Tapi mereka menjelaskan pakej ini akan berlaku apabila semua lapan orang yang ditemui melompat parti.

"Daripada lapan orang yang cuba dipujuk itu hanya lima sahaja terpengaruh dengan tawaran tersebut dan meninggalkan Pakatan Rakyat menjadi wakil rakyat bebas," katanya pada sidang media di lobi bangunan annex Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini.

Difahamkan lima Ahli Parlimen berkenaan merujuk kepada Datuk Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil (Bagan Serai) dan N. Gobalakrishnan (Padang Serai) yang kini menjadi wakil rakyat bebas.

Sebelum ini Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mendakwa pernah ditawar untuk melompat parti dengan tawaran sebanyak RM5 juta pada Januari 2010.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan