Kerusi Parlimen Kota Marudu Selamat - Ongkili

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA MARUDU: Kerusi Parlimen Kota Marudu dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong dan Tandek adalah kerusi selamat bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bagaimanapun mengingatkan semua parti komponen BN bahawa perpecahan dalam kalangan mereka boleh menggugat kekuatan gabungan parti pemerintah pada pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata semua ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu bersatupadu dan parti komponen BN harus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mempertahankan kubu kuat PBS di tiga kawasan berkenaan sejak 1985. "Selagi semua ahli PBS kekal bersatupadu dan jentera pilihan raya parti komponen BN saling bekerjasama, maka kita boleh memastikan kemenangan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan PBS bahagian Matunggong, di sini, Khamis.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata kerajaan B Ntelah membawa banyak pembangunan kepada kawasan tersebut termasuk menyediakan kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik.

Di samping itu, pendapatan isi rumah telah meningkat menerusi pelbagai program pertanian termasuk penanaman kelapa sawit, getah dan padi serta pemberian bantuan kewangan seperti BR1M, katanya.

"Rakyat mula sedar bahawa hanya BN boleh menepati janji berbanding pembangkang yang hanya pandai membuat janji kosong," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan