Jangan Pertikai Penggunaan Dakwat Kekal - Abdul Aziz - Berita Semasa | mStar

Jangan Pertikai Penggunaan Dakwat Kekal - Abdul Aziz

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Abdul Aziz menunjukkan dakwat kekal yang terbukti selamat digunakan dan diluluskan Majlis Fatwa, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia. Foto MOHD SAHAR MISNI
Abdul Aziz menunjukkan dakwat kekal yang terbukti selamat digunakan dan diluluskan Majlis Fatwa, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia. Foto MOHD SAHAR MISNI

PUTRAJAYA: Semua pihak diminta supaya tidak lagi mempertikaikan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dakwat kekal itu sudah terbukti selamat digunakan dan diluluskan Majlis Fatwa, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia.

"Ia halal...tidak sekat umat Islam ambil wuduk dan tidak memudaratkan kesihatan. Jadi tidak ada sebab bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan penggunaan dakwat ini," katanya ketika sesi demonstrasi proses pengundian dan susun atur bilik mengundi di sini, Rabu.

Malah, katanya, pengundi tiada pilihan lain selain diwajibkan untuk mencalitkan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan kiri mereka.

"Penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada tujuh syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya yang akan dilaksanakan pada PRU-13. Jadi semua pengundi harus guna kaedah ini, ia mandatori," katanya.

Abdul Aziz berkata, kaedah itu diharap dapat menghapuskan persepsi bahawa terdapat pengundi yang mengundi lebih daripada sekali.

"Kita cadangkan penggunaan sistem biometrik sebelum ini tetapi ada pihak mempertikaikannya. Jadi, kita setuju menggunakan dakwat kekal bagi meningkatkan keyakinan rakyat selaku pengundi terhadap ketelusan proses pengundian di negara ini," katanya.

Sementara itu, beliau bekata, dua jenis dakwat berbeza akan digunakan bagi kategori undi awal untuk anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing serta undi biasa.

"Dakwat yang digunakan untuk undi awal mungkin akan kekal lebih lama. Warna-warna untuk setiap kategori undi adalah unik. Jadi tidak berlaku undi sebanyak dua kali, ia juga menyenangkan semua pihak," katanya.

Pada pilihan raya umum akan datang, SPR turut melakukan beberapa pembaharuan termasuk membenarkan mana-mana orang yang dipercayai pengundi bagi kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) menemani mereka mengundi, memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas media dan mengubah kedudukan ejen calon dalam saluran tempat mengundi.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan