Debat Tidak Selesai Isu Masyarakat India - MIC

Diterbitkan: Khamis, 12 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC tidak berminat mengadakan sebarang perdebatan dengan mana-mana pihak pada masa ini kerana ia tidak akan menyelesaikan isu dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat India di negara ini, kata setiausaha agung parti itu, Datuk S. Murugesan.

Beliau berkata, apa yang masyarakat India mengharapkan ketika ini ialah peningkatan taraf hidup mereka menerusi pelbagai usaha berfaedah dan tindakan konkrit serta 'kurang percakapan daripada pemimpin mereka'.

"Semua perdebatan ini mungkin dilihat menarik tetapi bagaimana ia akan membantu orang biasa masih menjadi perbahasan," katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika terdapat keperluan untuk mengadakan perdebatan dengan pihak-pihak tertentu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu-isu kaum India di negara ini.

Tambahan pula, beliau berkata, parti itu merasakan tidak ada keperluan melibatkan diri dalam perdebatan dengan pemimpin pembangkang India yang tidak mempunyai sokongan daripada masyarakat India atau mewakili suara majoriti.

"Tiada DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti majoriti kaum India walaupun mereka mempunyai Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). Mereka ini semua tidak mempunyai suara dalam parti mereka sendiri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan