Lelaki Terlibat Kes Amuk Menyimpang Dari Prinsip Perjuangan Keharmonian

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lelaki yang maut ditembak polis ketika sedang mengamuk dalam cubaan menceroboh Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, petang Isnin jelas menyimpang dari prinsipnya yang ingin memperjuangkan keharmonian di negara ini.

Menerusi paparan bertarikh 4 Jun 2012 dalam laman blog yang dinamakan Jayanegara1234.blogspot.com, suspek yang dikenali sebagai Khalil Afandi Abd Hamid, 37, telah memasuki entri yang antara lain menyeru semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama supaya tidak membenci antara satu sama lain.

Malah, lelaki itu turut meminta semua umat Islam supaya melaksanakan perintah Allah iaitu menjaga hubungan kemanusiaan dengan penganut agama lain.

"Semua kita, tidak (kira) sesiapa pun adalah khalifah di bumi ini. Jangan kita lupa tugas khalifah...kita bekerja untuk Allah. Sebarkan dakwah. Sikafir tidak bertepuk tangan jika kita bergaduh.

"Tidak...mereka juga ada kemanusiaan...Cuma Iblis yg bertepuk tangan. Kamu juga jangan bertepuk tangan jika sikafir bergaduh! Amankan...damaikan mereka...itu tanggungjawab kita. Bukankah kita khalifah," katanya dalam paparan bertajuk "Izinkan aku bicara".

Bagaimanapun, lelaki itu dan seorang wanita yang baru dikenalinya telah mengamuk dengan melibaskan pedang samurai sehingga menyebabkan orang ramai dan penjawat awam bertempiaran lari menyelamatkan diri petang semalam.

Meskipun dipujuk sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pasangan suspek dalam kejadian amuk itu tetap berdegil sehingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

Lelaki tersebut yang terkena dua das tembakan pada lengan kiri dan kaki kiri maut semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya akibat pendarahan.

Suspek wanita pula yang bernama Muhdalina Ahmad, 28, yang juga ibu kepada dua orang anak itu mengalami kecederaan di paha kanannya dan kini masih dirawat di hospital yang sama.

Muhdalina adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kedua-dua suspek yang menganggur itu dikatakan hanya mengenali antara satu sama lain seminggu yang lalu.

Blog milik Khalil Afandi yang beroperasi sejak Mei lalu itu turut menjadi medan untuk suspek berbicara mengenai agama, mengkritik pihak berkuasa, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Suspek sempat memuat entri terakhirnya bertajuk "Hidup dan mati...apa yang dipertaruhkan" bertarikh 30 Jun lalu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak polis masih menyiasat motif, kaitan dan perancangan pasangan berkenaan ke Kompleks B Jabatan Perdana Menteri.

"Beri pihak polis masa untuk buat kerja," katanya dipetik dalam laman sosial Facebooknya, Selasa.

Hishammuddin turut memberi jaminan pihaknya tidak pernah berkompromi dalam isu keselamatan.

iklan

Video

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Selasa, 25 November 2014 1:00 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 2)

Selasa, 25 November 2014 8:48 PM

Ahli Geng Mamak Ditembak Mati

Isnin, 24 November 2014 8:01 PM

Sejauh Mana Anda Tahu? (Bahagian 1)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan