Sultan Azlan Mahu PDRM Jadi Pasukan Polis Kelas Pertama - Berita Semasa | mStar

Sultan Azlan Mahu PDRM Jadi Pasukan Polis Kelas Pertama

Diterbitkan: Isnin, 9 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menjadi pasukan polis kelas pertama yang dihormati dan disegani masyarakat, bukan ditakuti serta dijauhi, titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Titah baginda perkara itu boleh dicapai menerusi perkhidmatan yang profesional, berdisiplin, berintegriti serta penguatkuasaan undang-undang yang adil, saksama, cekap, pantas dan telus.

"Pasukan polis kelas pertama akan memiliki tahap kehormatan sehingga tidak memungkinkan terlintas sebarang niat oleh mana-mana pihak untuk cuba menyogok rasuah kepada mana-mana anggotanya," titah bagina ketika mencemar duli merasmikan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini Isnin.

Titah baginda PDRM perlu mengelak daripada dikelompokkan sebagai pasukan keselamatan di dunia ketiga dengan pelbagai imej negatif, selain dipersenda dan dilihat pasukan yang bergelumang dengan amalan rasuah, menindas yang lemah serta 'memejamkan mata' terhadap perbuatan jenayah, terutama oleh golongan elit.

"Ia mungkin bermula dengan toleransi terhadap satu kesalahan trafik atau penyeludupan seguni beras tetapi amalan toleransi sedemikian memberikan imej ketidaktegasan menguatkuasakan undang-undang dan imej negatif kepada pasukan," titah baginda.

Titah Sultan Azlan lagi PDRM juga bertanggungjawab melaporkan keadaan sebenar terutama dalam perkara berkaitan jenayah kepada kerajaan.

"Tidak ada makna jika laporan di atas kertas memberikan gambaran yang menggembirakan kerajaan, sedangkan realiti kejadian jenayah yang terus berlaku semakin membimbangkan dan menakutkan rakyat.

"Akhirnya kepercayaan rakyat akan hilang bukan sahaja kepada pasukan malah kepada kerajaan sendiri," titah baginda.

Kompleks IPD Taiping yang dilengkapi bangunan pentadbiran lima tingkat, kuarters kakitangan, pusat sehenti, lapang sasar dan tempat hemodialisis itu dibina dengan kos RM88.5 juta.

Kompleks itu dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan mula beroperasi pada 25 Jun lepas.

IPD Taiping kini mempunyai sembilan buah balai polis di bawah pentadbirannya dengan kekuatan 49 pegawai, 616 anggota pangkat rendah dan 105 penjawat awam. - BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan