Kerajaan Dijangka Beri Peruntukan Besar Di Luar Bandar Dalam Belanjawan 2013 - Shafie

Diterbitkan: Isnin, 9 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA MARUDU: Kerajaan berkemungkinan mengumumkan berita gembira dengan sejumlah peruntukan yang besar untuk masyarakat di luar bandar dalam Belanjawan 2013 bagi memastikan pembangunan yang seimbang untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan itu dan bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kesemua perkara yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah semata-mata untuk kebaikan rakyat selaras dengan gagasan yang diinspirasikannya bagi memastikan rakyat diutamakan.

Perdana Menteri akan terus membela masyarakat luar bandar dan selaku Menteri Kewangan, beliau akan menyediakan peruntukan yang ketara untuk terus mengimbangi antara kemajuan negara dan membela nasib rakyat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Moginakan Kimaragang peringkat negeri Sabah.

Pesta itu dianjurkan Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu di Kampung Samparita, Ulu Bengkoka, kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Marudu di sini, Isnin.

Acara Moginakan atau kenduri besar-besaran ini merupakan satu acara unik yang dijayakan oleh suku kaum Kimaragang bagi menggantikan Pesta Kaamatan dan Rumah Terbuka Kimaragang yang diraikan setiap tahun.

Beliau yakin kerajaan akan meneruskan kesinambungan membela nasib masyarakat luar bandar seperti peruntukan besar berjumlah RM5 bilion untuk pembangunan infrastruktur asas luar bandar pada Belanjawan 2012.

Mohd Shafie turut mengulangi bahawa dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi agensi dan jabatan berkaitan sentiasa memastikan semua kaum termasuk suku kaum minoriti di negara ini seperti suku kaum Kimaragang dapat menikmati pembangunan yang seimbang dari semua sudut terutama pendidikan dan ekonomi.

Beliau memberi contoh seperti kementeriannya yang memperuntuk RM60 juta bagi pembangunan sebuah projek agropolitan di Kampung Gana di sini sebagai sebahagian daripada program pembangunan pertanian luar bandar.

Katanya, sehingga kini, kementerian itu membina jalan perhubungan sepanjang 2,333.59km daripada jumlah asal 1,910.05km yang dicadangkan untuk disiapkan sementara 700km lagi jalan yang perlu dibina sehingga 31 Disember 2012.

"Setakat 31 Mei lepas, kementerian telah siap bina dan baiki rumah-rumah di bawah Program Bantuan Rumah sebanyak 85 peratus daripada 40,337 buah rumah yang perlu disempurnakan bagi manfaat 171,990 isi rumah.

"Kementerian juga telah menyempurnakan projek bekalan air bersih di luar bandar untuk 150,247 buah rumah iaitu 38,413 di Sabah dan 24,269 di Sarawak dan di Semenanjung sebanyak 87,565 buah rumah. Sehingga hari ini, kita telah menyambung bekalan elektrik kepada 60,603 buah rumah berbanding jumlah asal yang dicadangkan sebanyak 60,474 buah rumah sahaja," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan peruntukan peribadi berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu bagi membiayai pelbagai sudut prasana dan kemudahan asas termasuk membaik pulih 20 buah rumah dan membina 10 rumah baru di kampung-kampung berdekatan selain mengembangkan budaya tradisi masyarakat itu.

Beliau turut menegaskan pendidikan dan taraf kehidupan masyarakat suku kaum Kimaragang akan terus dibela termasuk peluang melanjutkan pengajian di luar negara dengan memperoleh biasiswa dan menceburi bidang keusahawanan dalam projek-projek pembangunan di kawasan ini.

Mohd Shafie percaya Pesta Moginakan yang sinonim dengan kaum Kimaragang yang menetap di utara Sabah khasnya di daerah Kota Marudu dan Pitas itu dapat memelihara khazanah budaya dan amalan tradisi masyarakat pelbagai etnik di kawasan itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Tandek. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan