Tidak Adil Kata MCA Takut Kepada Umno - Chua

Diterbitkan: Ahad, 8 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menafikan dakwaan bahawa parti itu takut kepada Umno.

Beliau berkata tindakan mempersoal peranan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) dan mengaitkannya dengan dakwaan bahawa ia takut kepada Umno adalah tidak adil kerana MCA terbabit dalam pembinaan negara sejak mula lagi.

"Jika saya katakan, dan saya selalu mengatakannya, sekiranya mesyuarat exco negeri serta kabinet Persekutuan dirakam dan kerajaan mendedahkannya, rakyat akan lebih memahami peranan MCA dalam sebuah negara berbilang bangsa," katanya pada debat kedua dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid pada Ahad.

Chua menjawab soalan seorang anggota panel iaitu Wan Hamidi Wan Hamid, yang juga editor 'RoketKini', sama ada MCA takut kepada Umno sehingga parti itu tidak berani membangkitkan isu rasuah yang berlaku dalam BN, dan sama ada perkongsian sama rata benar-benar wujud dalam parti komponen tersebut.

Debat bertajuk 'DAP & MCA: Whose Policies Benefit the Country More? (DAP & MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Menguntungkan Negara) itu anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Michael Yeoh bertindak sebagai moderator.

Chua juga menyoal pemimpin DAP itu mengapa parti tersebut hanya mendiamkan diri berhubung dakwaan terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengawal akaun bernilai RM3 bilion.

Bagaimanapun, Guan Eng tidak menjawab soalan itu, sebaliknya terus membangkitkan dakwaan bahawa kes rasuah banyak berlaku dalam BN.

Chua turut membidas Pakatan Rakyat, yang mendakwa mengamalkan perkongsian sama rata, namun pada masa sama, dilihat tidak sependapat mengenai logo mereka atau tarikh pendaftaran pakatan itu.

"Pakatan Rakyat berkata perkongsian sama rata namun sehingga hari ini, PAS tidak pernah secara terbuka mengendors Anwar sebagai Perdana Menteri. Anda juga tidak mampu memberitahu kami kabinet bayangan pakatan anda. Kenapa sukar sangat untuk berbuat demikian? Adakah itu yang dinamakan perkongsian sama rata?" katanya.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya, Chua berkata MCA memainkan peranan yang lebih berbanding parti politik lain dalam menyediakan pendidikan tinggi kepada negara kerana ia telah melatih kira-kira 200,000 graduan menerusi Kolej Tuanku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman, termasuk beberapa pemimpin penting DAP serta PAS.

"Hari ini, MCA, walaupun sebuah parti politik, masih menjaga kepentingan 45,000 pelajar berbilang bangsa di kampus kami. Kami komited dalam mempromosi pendidikan dalam bahasa ibunda di negara berbilang kaum ini," katanya.

Sementara itu, Guan Eng mendakwa kerajaan negeri berjaya menghapus gejala rasuah di Pulau Pinang dan akan berbuat demikian kepada Malaysia, jika Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara.

Menjawab soalan Chua, Guan Eng mengakui DAP terpaksa mengutip wang itu kerana bergantung kepada dana awam untuk meneruskan perjuangan, namun beliau menegaskan mereka tidak mencuri wang daripada kerajaan.

Sementara itu, Chua ketika mengulas kenyataan Guan Eng bahawa kebebasan yang terhad untuk menunjukkan bakat merupakan antara punca pengaliran keluar kepakaran, berkata masalah tersebut bukan hanya dialami Malaysia, ia turut berlaku di negara membangun yang lain.

Beliau juga berkata meskipun berdepan masalah itu, jumlah pelajar bukan Melayu yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi meningkat pada tahun lepas.

Chua turut menggesa rakyat Malaysia agar menolak slogan 'Ubah' yang dipelopori pembangkang kerana ia menunjukkan tidak ada tolak ansur dan lebih bersifat konfrontasi, selain sebarang keganasan pula diselindungi dengan bijak di sebalik badan bukan kerajaan (NGO).

"Mengapa merisikokan seluruh negara bagi memenuhi cita-cita politik anda sendiri? Anda tidak berlaku adil kepada rakyat. Slogan anda sepatutnya adalah 'berkuasa dahulu, kacau-bilau kemudian," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan