Peniaga Kecil Padang Kota Lama Demo Aman, Mohon Lesen Perniagaan

Diterbitkan: Ahad, 8 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Lebih 50 peniaga kecil di Padang Kota Lama di sini mengadakan demonstrasi aman bagi meluahkan rasa kesal terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang didakwa gagal menjaga kepentingan mereka sejak memerintah negeri ini.

Himpunan aman yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah.

"Jika kerajaan negeri boleh beri lesen kepada peniaga kecil di Queensbay dan Persiaran Gurney mengapa tidak boleh buat perkara yang serupa kerana kebanyakan peniaga ini sudah lebih 10 tahun beroperasi dan mereka adalah nadi Padang Kota Lama," kata Mohd Ridzuan.

Wakil peniaga, M. Balakrishnan, 54, yang beroperasi di situ sejak 14 tahun lepas berkata memandangkan mereka tidak memiliki lesen, sudah tiga bulan peniaga di situ tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan susulan tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang setiap hari melakukan rondaan di kawasan itu dan merampas barang perniagaan mereka.

"Bukannya kami tidak cuba memohon lesen, sudah beberapa kali kami minta tapi tidak dapat. Kami pernah adakan mesyuarat dengan ketua menteri dan beliau minta kami kemuka rayuan tapi sehingga hari ini tiada jawapan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Peniaga barang mainan, Mahathir Azizan, 34, berkata beliau dan peniaga lain tidak menghalang lalu lintas dan sentiasa memastikan kebersihan premis niaga masing-masing justeru beliau berasa hairan mengapa kerajaan negeri masih tidak meluluskan pemberian lesen kepada mereka. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan