Hanya BN Mampu Bawa Kejayaan Kepada Felda - PM

Diterbitkan: Ahad, 8 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan Menara Felda 50 tingkat yang terletak berhampiran dengan Menara Berkembar KLCC ketika majlis sambutan Hari Peneroka Felda ke-56 pada malam Sabtu. Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan (kanan).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan Menara Felda 50 tingkat yang terletak berhampiran dengan Menara Berkembar KLCC ketika majlis sambutan Hari Peneroka Felda ke-56 pada malam Sabtu. Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan (kanan).

KUALA LUMPUR: Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menjana lebih banyak kekayaan buat Felda dan membela nasib rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dan pembinaan Menara Felda membuktikan badan itu sudah berjaya melakukan transformasi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Najib berkata kejayaan itu disumbang peneroka yang tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkang untuk menggagalkan usaha memajukan Felda.

"Sesiapa yang cuba menipu dan mengkhianati kita, nampaknya niat mereka tidak kesampaian. Kita telah membuktikan segala tuduhan bersifat palsu dan fitnah belaka," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka 2012 di sini, malam Sabtu.

Beliau turut merasmikan Menara Felda setinggi 50 tingkat bernilai RM700 juta yang diilhamkan daripada bentuk biji sawit, yang terletak di Platinum Park, pusat perniagaan Segi Tiga Emas di ibu kota. Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi meraikan kira-kira 20,000 warga Felda termasuk 12,000 peneroka dari seluruh negara.

Najib berkata dua penipuan terbesar golongan yang disifatkan sebagai 'makhluk perosak' ialah Felda sudah bankrap dan tanah peneroka akan tergadai dengan penyenaraian FGVH.

"Mana ada syarikat bankrap boleh disenaraikan. Sekarang ini sudah senyap, tandanya orang tak terima (dakwaan itu), tak masuk akal. Hakikatnya tanah peneroka tak tergadai. Ini adalah penipuan paling besar dan mereka (pembangkang) sebenarnya mati akal," katanya.

Perdana Menteri turut memuji peneroka yang terus cekal menghadapi cabaran memajukan Felda lebih 50 tahun lepas bermula di Lurah Bilut, Pahang.

"Felda merupakan sebuah kisah yang sarat dengan cabaran demi cabaran. Apabila kita tabah dan cekal, rancang dan laksanakan dengan tegas dan berkesan, hasilnya dapat kita dikecapi hari ini," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembayaran kedua RM5,000 kepada isteri peneroka akan dibuat selewat-lewatnya bulan Ramadan ini, diikuti dengan baki bayaran kepada anak-anak mereka.

Najib juga berkata nilai semasa Menara Felda yang menjadi kebanggaan peneroka itu telah meningkat kepada RM965 juta. "Belum masuk lagi sudah untung RM265 juta, bukankah ini satu keputusan yang menguntungkan...iaitu mencatat keuntungan 38 peratus," katanya.

Sementara itu, Najib turut membayangkan kemungkinan memberi imbuhan tambahan kepada peneroka pada masa hadapan. "Kita masih ada dana. Kita tak belanja semua dan kita masih banyak perancangan untuk jana kekayaan. Kita bela peneroka Felda.

"Felda sudah berjaya. Kita nak beri mesej kepada makhluk perosak, kepada rakyat dan dunia bahawa Felda sudah berjaya dan boleh terus dapat manfaat daripada perjuangan, idea dan perancangan yang jitu," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan