Nilai Kerajaan Dari Semua Sudut Bukan Atas Persepsi - PM

Diterbitkan: Sabtu, 7 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata generasi muda patut menilai pencapaian kerajaan dari semua sudut dan bukannya berdasarkan persepsi dan retorik politik.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam agar tahu membezakan persepsi yang sengaja dilontarkan oleh pihak tertentu, terutamanya menerusi internet dan media sosial yang tidak berasaskan kebenaran.

"Inilah generasi yang patut boleh menilai ini semua... bukan soal persepsi. Jangan fikirkan semata-mata kita ni kerajaan, kita tak betul.

"Kalau kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang tidak betul, Malaysia tidak akan membangun seperti hari ini dan Insya-Allah dalam beberapa tahun lagi, Malaysia akan mencapai status negara maju," kata Najib.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Pemikir Muda Malaysia anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia (PPM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dan Universiti Teknologi MARA di sini.

Najib berkata tidak semua negara mempunyai perancangan terperinci seperti yang dilakukan Malaysia untuk mencapai status negara maju kerana kerajaan berkemampuan untuk memimpin negara dalam melakukan transformasi yang besar.

Hakikatnya, kata Perdana Menteri, Malaysia bukanlah kisah sebuah negara yang gagal dan kalau disingkap kembali detik perjalanan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan sekarang selama 55 tahun, banyak kejayaan yang telahpun dilakar sehingga negara ini boleh ditakrifkan sebagai kisah sebuah negara yang berjaya.

Beliau berkata kebanyakan orang muda mengutamakan apa yang terjadi hari ini dan masa akan datang tetapi hakikatnya jika mereka tiada perspektif sejarah, maka mereka akan kehilangan punca kerana tidak mengetahui dari mana mereka datang atau asal-usul masing-masing.

Justeru, kata beliau, ada generasi muda yang tidak tahu jerih payah dan kesusahan serta pengorbanan pemimpin terdahulu untuk mewariskan kepada mereka sebuah negara yang jauh lebih baik.

"Sebab itulah sebagai generasi muda, kita tidak boleh merupakan generasi yang buta sejarah dan kita tidak boleh merupakan generasi yang tidak menghargai perjuangan generasi terdahulu daripada kita," katanya.

Perdana Menteri berkata generasi muda yang mempunyai perspektif sejarah adalah generasi yang tahu mengenang budi dan bukannya hanya hidup dalam kenangan sejarah, sebaliknya memiliki lebih iltizam dan lebih bertekad untuk membawa negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.

"Inilah namanya generasi muda yang kita boleh meletakkan harapan. Ini namanya kita sebagai generasi muda mempunyai kemampuan untuk menyumbang, untuk berfikir yang disebut tadi secara kritis, secara inovatif, secara kreatif," katanya.

Sebagai pemimpin, Najib berkata menyediakan peluang pendidikan untuk generasi muda memiliki kelulusan akademik sahaja tidak memadai kerana mereka perlu diberi persediaan menghadapi cabaran abad ke-21, antaranya serangan ke atas pemimpin yang kini bertukar dalam bentuk media sosial daripada surat layang pada masa dahulu.

"Mereka perlu diberi kemahiran berfikir secara mendalam supaya tidak menerima bulat-bulat apa yang disiarkan dalam media sosial.

"Kita tidak mahu pemimpin yang pandai berlakon. Kita tak mahu pemimpin yang pandai dengan muka-muka cakap 'oratory skill' (kebolehan berpidato) tapi tidak ada kebenaran," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan