Kerajaan Kelantan Tidak Mampu Sedia Dana Selesai Masalah Bekalan Air

Diterbitkan: Sabtu, 7 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Kelantan di bawah pemerintahan PAS tidak mungkin mampu menyediakan dana RM2 bilion untuk melaksanakan projek bekalan air bagi keperluan rakyat negeri itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata mereka tidak mempunyai kepakaran, kebijaksanaan dan peruntukan mencukupi untuk menyelesaikan masalah itu walaupun telah diberi peluang lebih 20 tahun memerintah.

"Mereka sehingga sekarang masih terkapai-kapai untuk menyelesaikannya walaupun kerajaan pusat telah banyak membantu," katanya kepada pemberita pada majlis Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bersama Rakyat Bachok di Kampung Tangok di sini, Sabtu.

Awang Adek mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Selasa lepas bahawa negeri itu memerlukan perbelanjaan RM2 bilion lagi bagi menyelesaikan masalah bekalan air. Lebih 300 saudara baru menyertai majlis hari ini yang turut dihadiri Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Muhammad Rais Abdul Karim.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata walaupun pinjaman mudah RM600 juta diberikan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri, ia jelas tidak mampu menyelesaikan masalah itu.

Beliau berkata minggu lepas pula kerajaan persekutuan meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM26.7 juta, dan ini masih tidak mencukupi.

Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan negeri tidak bijak mengurus dan tidak mempunyai kepakaran, dan oleh itu tidak lagi layak diberi mandat memerintah pada pilihan raya umum akan datang.

Awang Adek berkata Barisan Nasional akan menyelesaikannya sekiranya diberi mandat pada pilihan raya itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan