24 Kematian Akibat Denggi Dalam Tempoh Januari-Jun Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kematian dilaporkan akibat demam denggi di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 11 kematian dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga), Kedah (tiga), Perak (dua) manakala Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah masing-masing satu.

"Jumlah itu meningkat berbanding 18 kematian dicatat dalam tempoh sama tahun lepas. Terbaru, dua kematian dilaporkan antara 24 dan 30 Jun lepas melibatkan dua suri rumah (masing-masing) berusia 32 dan 17 tahun di Kedah.

"Mereka meninggal dunia akibat Sindrom Kejutan Denggi dalam tempoh kurang 48 jam setelah menerima rawatan. Pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati kadar pembiakan Aedes di salah sebuah rumah pesakit terlalu tinggi iaitu Indeks Aedes 16.7 peratus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Hasan berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 11,794 kes denggi dilaporkan iaitu meningkat 15 peratus berbanding 10,293 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata antara negeri yang mencatat jumlah kes tertinggi ialah Selangor dengan 5,422 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,129) manakala Johor (846). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan