MCA Dakwa Talam Jual Tanah Pajak RM42 Juta Lebih Tinggi Daripada Harga Pasaran

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA pada Khamis mendakwa Syarikat Talam yang kini dikenali sebagai Trinity Corporation berjaya menjual tanah pegangan pajak seluas 2,263 ekar yang terletak di Bestari Jaya kepada kerajaan Selangor pada harga RM181 juta.

Ketua Biro Profesional Muda MCA pusat, Datuk Chua Tee Yong mempertikaikan tindakan Talam itu kerana mereka berjaya menjual tanah tersebut dengan harga RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Tee Yong berkata, apa yang lebih memeranjatkan adalah bagaimana Talam boleh menjual tanah tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran memandangkan tanah tersebut masih belum bebas daripada bebanan dan masih digadai kepada institusi kewangan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa daripada 2,263 ekar kawasan tanah itu, kemungkinan sebanyak 1,013 ekar atau 44 peratus mempunyai komplikasi berdasarkan maklumat yang terdapat dalam Laporan Penilaian," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat MCA pada Khamis.

Dalam laporan penilaian yang dikeluarkan oleh Talam, Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani berkata sebanyak 438 ekar tanah adalah tanah yang berada di bawah air.

Bagi tanah di bawah air ini, mengikut anggaran semasa, ia memerlukan tambahan kos antara RM50 hingga RM100 juta untuk kerja-kerja menimbus sebelum sebarang kerja pembinaan boleh dimulakan.

Manakala sebanyak 575 ekar lagi, beliau berkata kerajaan Selangor telah mewartakannya sebagai 'kawasan simpanan untuk hutan dan ekologi' yang tiada banyak nilai komersil.

"Apa yang membingungkan saya ialah bagaimana Talam berjaya meyakinkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk membeli tanah ini dengan harga RM42 juta lebih tinggi berbanding harga pasaran meskipun tanah-tanah tersebut masih belum bebas daripada bebanan dam terdapat 1,013 ekar tanah itu mempunyai komplikasi," katanya.

Berhubung tindakan undang-undang yang akan diambil oleh kerajaan Selangor terhadap Tee Yong, beliau berkata belum menerima sebarang surat mengenainya.

"Setakat ini saya belum terima apa-apa...saya pun tak tahu sama ada mereka mahu saman saya atau MCA.

"Sebagai kerajaan mereka boleh ambil apa sahaja tindakan yang mereka rasa perlu. Saya juga akan terus jalankan kerja-kerja saya seperti biasa dan lakukan apa yang perlu," katanya.

Sementara itu, Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata beliau akan mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyokong dakwaan yang dikemukakan dan ia akan didedahkan sedikit demi sedikit dalam tempoh terdekat.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri Selangor akan mendakwa pihak yang menuduh mereka telah menyalahguna dana bernilai RM1 bilion.

Abdul Khalid berkata dakwaan yang dilemparkan tidak benar dan telah merosakkan imej kerajaan negeri.

Pada Selasa, MCA mencabar kerajaan Selangor untuk menjelaskan perjanjian bernilai RM1 bilion dengan Talam Corporation.

Tee Yong berkata, beliau mendapat maklumat bahawa syarikat senaraian awam yang berhutang sebanyak RM392 juta dengan syarikat berkaitan kerajaan melupuskan asetnya kepada kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion.

Beliau turut mencabar Abdul Khalid mendedahkan segala transaksi memandangkan Pakatan Rakyat mendakwa mereka mengamalkan pentadbiran telus dan adil.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan