Muhyiddin Jelaskan Malaysia Tidak Berhasrat Tuntut Budaya Mandailing

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Malaysia, pada Selasa, menegaskan kepada Indonesia bahawa pendaftaran budaya masyarakat Mandailing di Malaysia mengikut Akta Warisan Kebangsaan bertujuan melestarikan budaya itu dan bukan menuntutnya sebagai milik negara.

Penjelasan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Naib Presiden Indonesia Boediono ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu dan berbincang mengenai hubungan kerjasama dan isu dua hala di sini.

Proses pendaftaran itu masih belum selesai dan Malaysia akan mengambil kira segala pandangan Indonesia, termasuk menyebut asal usul budaya itu dalam pendaftaran itu, katanya pada sidang akhbar di akhir lawatannya ke Jakarta.

"Dengan mendaftarkan budaya itu di bawah akta warisan, dalam jangka panjang ia akan memberi faedah kepada Indonesia kerana jika tidak dipelihara dan dipulihara, ia akan hilang ditelan zaman," katanya.

Cadangan Malaysia untuk mendaftarkan dua budaya masyarakat Mandailing iaitu tarian Tor-tor dan paluan Gordang Sambilan, mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila beberapa kumpulan masyarakat di Indonesia membantah langkah itu kerana salah tafsiran bahawa langkah itu merupakan tuntutan kepemilikan budaya itu oleh Malaysia.

Kontroversi itu, yang dihangatkan oleh media tempatan, menyebabkan beberapa kumpulan masyarakat Indonesia berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sehingga sekumpulan 50 anggota Pemuda Pancasila bertindak ganas dengan melempar batu dan merosakkan pintu pagar serta sebahagian bangunan Malaysia Hall di Menteng, Jakarta baru-baru ini.

Pada pertemuan dengan Boediono, Muhyiddin turut menjelaskan bahawa masyarakat Malaysia dan Indonesia merupakan bangsa serumpun dengan sebahagian daripada orang Indonesia telah menjadi rakyat Malaysia sejak sekian lama tetapi asal usul mereka tetap dari Indonesia seperti masyarakat Mandailing dan Bugis.

Penjelasan itu nampaknya diterima baik oleh Indonesia, kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri dan Boediono juga menyentuh isu dua hala lain termasuk penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dan kemajuan yang dicapai dalam usaha penyelesaian masalah sempadan maritim di beberapa kawasan yang menjadi pertikaian Malaysia dan Indonesia.

Menyentuh soal hubungan kerjasama ekonomi, Muhyiddin berkata beliau dan Boediono bersetuju bahawa hubungan itu bertambah baik dengan meningkatkan minat oleh usahawan dari kedua-dua negara dalam bidang perdagangan serta pelaburan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan