Kanak-Kanak Perempuan Pesakit Kanser Meninggal Dunia

Diterbitkan: Rabu, 4 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menderita penyakit kanser dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, meninggal dunia awal pagi Rabu.

Adik Nur Ainul Hayah Mohd Shahrizam meninggal dunia pada 12.50 pagi di Hospital Kuala Lumpur.

Ibu kanak-kanak itu, Khairul Hana Abdul Rashid, 35, berkata jenazah anaknya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Tanjung Medang, di sini, kira-kira 10 pagi.

"Saya redha dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di sini.

Adik Nur Hayah ketika dilahirkan pada November 2009 merupakan bayi normal, namun keadaan itu berubah mulai November tahun lepas, selepas dia didapati menghidap penyakit kanser neuroblastoma.

Kanak-kanak itu mengalami bengkak badan dan lebam di bahagian mata.

Khairul Hana, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta terpaksa bercuti selama enam bulan untuk menjaga anaknya.

Pada 18 Jun lepas, Perdana Menteri, mengarahkan adik Nur Ainul Hayah diberi segala bantuan sewajarnya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Suhaimi Ibrahim yang mewakili Najib turut melawat kanak-kanak itu selain menyampaikan bantuan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Datuk Suhaimi, yang telah banyak membantu kami selama ini," kata Khairul Hana. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan