UIAM Sedia Capai Status Universiti Penyelidikan - Saifuddin

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat sudah bersedia untuk tersenarai sebagai universiti penyelidikan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata universiti itu difahamkan telah diaudit baru-baru ini dan keputusan mengenai status universiti penyelidikan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan UIAM (IEC) 2012 di sini Selasa, beliau berkata UIAM telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk mencapai taraf universiti penyelidikan itu.

Keunikan UIAM menggunakan pendekatan secara Islamik di mana ia terkenal antaranya dengan Undang-undang Islam, Kewangan Islam, Hab Penyelidikan Halal akan turut diambil kira dalam proses penilaian bagi mencapai status tersebut, katanya.

Malaysia buat masa kini mempunyai lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Negara masih memerlukan banyak lagi universiti berstatus penyelidikan di masa hadapan," kata Saifuddin.

Kongres kali ketiga bertemakan 'Teknologi Inovatif Untuk Kesejahteraan Ummah' bermula hari ini sehingga Khamis akan membentangkan 580 kertas kerja daripada peserta dalam dan luar negara antaranya Jepun, Australia, Arab Saudi dan United Kingdom. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan