Nik Aziz Sokong Penuh Johor Dahului Kelantan Laksana Hudud

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat supaya Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau amat bersyukur dengan cadangan itu walaupun ia datang daripada orang Umno.

“Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar-mencabar, saya menyokong sepenuh hati.

“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud. Jika Johor mendahului Kelantan, silakan. Insya-Allah giliran Kelantan akan tiba juga,” kata beliau menerusi tulisannya di Facebook pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ayub di sebuah portal pada Sabtu lalu mencadangkan supaya Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

Nik Aziz berkata, beliau berharap agar cadangan ADUN Kemelah itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.

“Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia. Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu langkah yang seterusnya,” kata beliau.

Dalam laporan itu, Ayub berkata, beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud “sebenar” yang menurutnya berbeza daripada hudud PAS.

ADUN Kemelah itu berkata, perbezaan paling ketara adalah hukum sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam.

Beliau turut mencabar PAS menyokong cadangan hukum hudud walaupun ia datang dari Umno sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu memartabatkan Islam.

“Apabila Umno sebut tentang hudud, PAS kena sokong jugalah,” katanya lagi yang dipetik dalam laporan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan