Tukar Kerajaan Bukan Seperti Tukar Baju

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAUB: Menukar kerajaan tidak semudah seperti menukar baju dan rakyat harus berhati-hati dalam membuat keputusan tersebut, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, pihak pembangkang boleh berkata apa juga yang mereka mahu mengenai soal menukar kerajaan tetapi akhirnya yang akan menentukannya ialah para pengundi.

“Rakyat mempunyai hak untuk menentukan kerajaan manakah yang menjadi pilihan mereka. Tetapi saya hanya mempunyai satu permintaan sahaja...tolong gunakan undi anda dengan bijaksana apabila tiba masanya,” kata Dr Chua dalam satu majlis makan malam yang diadakan di sini malam Ahad lalu.

Menurut beliau, rakyat perlu bertanya kepada diri mereka sendiri apakah perlu untuk menukar kerajaan sekarang.

“Anda kena bertanya kepada diri anda sendiri, jika Pakatan Rakyat dipilih mengantikan Barisan Nasional, apakah segala-galanya akan bertambah baik? Bolehkah Pakatan berkhidmat lebih baik dari Barisan? Jika tidak, mengapa perlu tukar?” tanya beliau.

Beliau juga menegaskan yang rakyat perlu memikirkan kenapakah Pakatan sehingga sekarang tidak menetapkan satu pendirian yang jelas tentang siapakah yang akan menjadi perdana menteri sekiranya mereka memerintah.

“Saya bukannya mahu berkata yang Barisan sebuah parti yang sempurna. Kami juga ada cacat celanya tetapi pada masa yang sama tidak boleh dinafikan bahawa negara kita telah membangun dengan pesat di bawah kerajaan BN sejak merdeka lagi,” ujar Dr Chua.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan