Rasuah Libatkan 'Pelobi' Berjaya Dikurangkan Dengan Sistem E-Bidding

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap kesalahan rasuah dalam industri pembinaan di negara ini, terutama terhadap pelobi yang berselindung di sebalik pelbagai nama seperti konsultan atau orang tengah.

Walaupun mengikut rekod SPRM, gejala rasuah akibat pelobi ini semakin berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan sistem e-bidding, namun masih ada ruang untuk dibaiki bagi memastikan kelancaran sesebuah projek yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, dalam konteks industri pembinaan, sistem e-bidding yang diguna pakai di kementerian dan jabatan kerajaan berjaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1 juta daripada ketirisan akibat rasuah.

Katanya, melalui sistem ini, urusan berkaitan kontrak dan tender berjalan secara telus dengan kontraktor dan pembekal memberi sebutharga melalui borang yang disediakan dan tiada perjumpaan langsung berlaku antara mana-mana pihak yang berkepentingan.

"Fungsi orang tengah itu sendiri memang penting bagi sesetengah pembida, namun tidak boleh terlalu jauh menyimpang daripada peranan asal mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pembinaan Menjana Pembangunan Integriti di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini, Isnin.

Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SPRM itu dihadiri 220 kontraktor dari seluruh Terengganu, bertujuan memberi penerangan terhadap risiko rasuah dalam industri pembinaan negara.

Selain itu, Abu Kassim berkata, kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang memang berisiko tinggi untuk berlakunya gejala rasuah di kalangan penjawat awam terbabit.

Namun, katanya, Akta SPRM 2009 yang diwujudkan berjaya mengekang gejala rasuah daripada berleluasa dibandingkan ketika zaman 1980-an dan 1990-an dahulu dan usaha penambahbaikan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan