Permohonan Visa Pelajar Ke Britain Diproses Di Manila

Diterbitkan: Sabtu, 30 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi British bersedia menghadapi tempoh puncak pengendalian visa pelajar dengan permohonan akan diproses dan diputuskan buat pertama kalinya di Manila.

Pengendalian visa pelajar di pusat visa Agensi Sempadan United Kingdom (UKBA) di Filipina akan diuji tetapi beberapa pegawai British di sini yakin dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Di bawah proses baru ini, permohonan akan terus dikumpul oleh VFS Global, pusat permohonan visa global suruhanjaya tersebut di Jalan Ampang.

Namun, terdapat perubahan di mana permohonan akan dihantar ke Filipina bersama-sama dengan pasport pelajar.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Ray Kyles berkata, keputusan untuk mempersetujui atau menolak permohonan visa akan ditentukan pegawai-pegawai UKBA yang berpangkalan di Manila dan tidak lagi berada di Kuala Lumpur.

"Kami menjangka permohonan dari pelajar Malaysia akan meningkat dan UKBA mahu mereka memahami apa jua keperluan dan proses terlebih dahulu.

"Para pelajar perlu menjadi lebih aktif sebaik saja mereka memperoleh keputusan dan tidak melengahkan permohonan yang mengambil masa sekurang-kurang 15 hari untuk diproses," katanya dalam satu temu bual.

Tempoh puncak untuk permohonan visa pelajar ke Britain kebiasaannya adalah dari Julai hingga September.

Malah permohonan akan meningkat selepas keputusan peperiksaan A-level diumumkan pada 16 Ogos.

Kyles berkata, kira-kira 6,800 visa pelajar dikeluarkan di sini tahun lalu.

Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 8% berbanding 2010 dengan 97% pelajar berjaya memperoleh visa tanpa sebarang masalah.

"Kebanyakan pelajar akan memperoleh visa mereka dalam tempoh lima hari berbanding 15 hari yang ditetapkan. Kami berharap agar dapat mengekalkan tempoh tersebut," katanya.

Kyles berkata VFS diarahkan untuk merombak beberapa prosedur untuk mengurangkan tempoh menunggu agar proses penghantaran visa kepada pelajar berjalan lancar.

"Berlaku huru-hara di pusat tersebut tahun lalu dan kami memberi jaminan bahawa beberapa pendekatan diambil untuk mengelak perkara itu berulang lagi," katanya.

Kyles berkata, pembaharuan dalam sistem visa pelajar yang diumumkan oleh kerajaan Britain tahun lalu dikekalkan dengan beberapa perubahan baru akan berkuat kuasa pada April lalu.

Garis panduan terbaru itu menetapkan kriteria kemasukan yang lebih ketat terhadap pelajar asing.

Selain itu, tempoh keseluruhan visa pelajar dihadkan kepada tiga tahun bagi peringkat rendah dan lima tahun, peringkat tertinggi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan