'MyHealth Apps' Beri Maklumat Khidmat Kesihatan Melalui Peranti Pintar

Diterbitkan: Sabtu, 30 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Maklumat perkhidmatan kesihatan kini boleh diakses melalui peranti pintar atau 'smartphone' dengan pelaksanaan projek aplikasi mudah alih Kementerian Kesihatan yang dikenali sebagai 'myHealth Apps' pada Sabtu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata aplikasi yang disedia melalui kemudahan itu ialah senarai fasiliti kemudahan kesihatan, soalan lazim kesihatan, penilaian risiko kesihatan, semakan pengamal perubatan, semakan produk berdaftar dan 'mobile denggi'.

"Projek ini bertujuan memudahkan rakyat mencapai maklumat perkhidmatan kesihatan dengan cepat dan mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan penggunaan peranti pintar atau smartphone," katanya pada ucapan Majlis Anugerah Media Kesihatan 2012 di sini Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Sementara itu, Liow berharap media akan terus memainkan peranan membantu kementerian membuat liputan dan menghasilkan bahan berita yang menarik, bermutu dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Mengenai Majlis Anugerah Media Kesihatan 2012, beliau berkata 146 pencalonan diterima daripada media iaitu televisyen, radio, akhbar dan majalah dari pelbagai bahasa untuk bahan berita, rencana dan program yang dikeluarkan pada tahun 2011.

Norindah Khairi dari Bernama Radio24 memenangi hadiah utama Anugerah Program Kesihatan Terbaik kategori radio menerusi program bual bicara "Ala Carte Pagi" dengan topik 'Pengamal Pergigian Haram dan Risiko Mendapatkan Rawatan dari Tukang Gigi Jalanan' dengan membawa pulang wang tunai RM2,500 beserta sijil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan